Pelik tetapi benar. Seorang pereka web di Argentina berjaya membeli domain Google di negaranya selama dua jam, pada harga serendah RM11.89 (USD$2.90). Menurut Nicolas Kurona, beliau sedang menyiapkan laman web yang diminta oleh pelanggannya apabila mendapat pesanan di Whatsapp tentang Google tidak boleh diakses.
Menyedari Google.com.ar tidak boleh diakses, beliau mengakses ke laman web Network Information Center Argentina (NIC) yang mengendalikan domain .ar bagi negara tersebut. Nicolas menyedari bahawa Google.com.ar disenaraikan sebagai domain yang boleh dibeli pada harga USD$2.90.
Tanpa berlengah, beliau cuba untuk membeli domain tersebut biarpun tidak meyakini bahawa pembeliannya akan berjaya. Namun setelah mendapat invois rasmi daripada NIC, beliau seakan-akan tidak percaya bahawa domain tersebut adalah miliknya. Untuk seketika, kesemua carian Google.com.ar tergendala dengan carian tersebut ditujukan kepada Nicolas.
Beliau kemudiannya berkongsi pengalaman tersebut di Twitter.
Quiero aclarar que entre a https://t.co/XtzUy8WL36 vi el nombre de https://t.co/cK20BdyuxB disponible y lo compre legalmente como corresponde!
— Nicolas David KuroƱa (@Argentop) April 22, 2021
Tidak lama kemudian, Google kembali mendapat akses kepada domain tersebut. Tidak dapat dipastikan bagaimana Nicolas boleh membeli domain yang lesennya masih belum luput dan dimiliki oleh Google. Apa yang pasti, Nicolas tidak dibayar semula RM11.89 yang dibelanjakannya pada malam tersebut, baik oleh Google mahupun oleh NIC.