Muhammad Sanusi Md Nor sah dinamakan sebagai Menteri Besar Kedah ke-14 bagi menggantikan Datuk Seri Mukhriz Mahathir.

Perkara itu diumumkan oleh Setiausaha Kerajaan Negeri Datuk Ammar Shaikh Mahmood Naim pada satu sidang media di Wisma Darul Aman hari ini.

Pengumuman terbabit dibuat susulan peletakan jawatan Mukhriz berkuat kuasa serta merta hari ini selepas hilang kepercayaan majoriti ADUN di Kedah.

“Lanjutan dari peletakan jawatan tersebut, Tuanku Sultan Kedah memperkenan pelantikan Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Jeneri sebagai menteri besar baharu.

“Ini kerana, beliau pada hemat baginda telah mendapat sokongan majoriti ADUN mengikut peruntukan di bawah Perkara 35 dan 37(2)(a) Undang-undang Tubuh Kerajaan Kedah,” kata Ammar. 

Siapa Muhammad Sanusi?

Muhammad Sanusi Md Nor merupakan Ketua Pengarah Pilihanraya PAS Pusat dan juga pengerusi badan sukarelawan PAS, iaitu PASRelief.

Anak jati Sik yang berusia 46 tahun ini juga berkhdimat sebagai setiausaha politik bekas Menteri Besar Kedah terakhir dari PAS, Datuk Seri Azizan Abdul Razak sepanjang tempoh 2008-2013. Dalam pada masa yang sama, beliau juga bertugas sebagai naib pengerusi PAS Kedah pada ketika itu.

Sanusi memenangi kerusi DUN Jeneri buat kali pertama pada PRU14 lepas selepas menewaskan calon Umno, Mahadzir Abdul Hamid dan calon Bersatu, Nazri Abu Hassan. Beliau memperolehi majoriti sebanyak 2,455.

Sebelum masuk ke arena politik, Sanusi bertugas sebagai jurunilai eksekutif di Jurunilau Bersekutu (M) Sdn Bhd dan Ketua Biro Pendidikan Persatuan Penguna-Pengguna Pulau Pinang (CAP).

Pada 12 Mei lepas, pengumuman dua ADUN Parti PKR, Azman Nasrudin (Lunas) dan Robert Ling Kui Ee (Sidam) yang keluar dari PKR untuk menyertai PN membuka perubahan baru dalam kerajaan negeri Kedah.

Pada hari sama, Sanusi yang juga merupakan ketua pembangkang di sidang DUN Kedah melakukan sidang media untuk mengesahkan bahawa PN telah memperolehi majoriti untuk membentuk kerajaan baru.

Majoriti tersebut diperolehi hasil sokongan Azman, Robert serta empat lagi Adun dari parti Bersatu.

Dua hari sebelum itu, media mendapat tahu 15 Adun Kedah dari PAS dan dua dari Umno telah berjumpa dengan Naib Presiden PAS Dr Ahmad Samsuri Mokhtar, Setiausaha Agung PAS Datuk Takiyuddin Hassan, Komisioner PAS Kedah Ahmad Yahaya dan Pengerusi Umno Kedah Datuk Seri Jamil Khir Baharom.

Perjumpaan ini sekaligus menimbulkan desas-desus akan ada perubahan dalam kerajaan Kedah.

Semalam Mukhriz menegaskan beliau masih mempunyai sokongan majoriti untuk bergelar sebagai Menteri Besar. Beliau juga berkata kerajaannya sedang sibuk memepersiapkan kebajikan rakyat Kedah sempena perayaan Aidilfitri nanti.

Pada hari sama, Sultan Kedah pula telah berjumpa dengan 26 Adun di Wisma Darul Aman.

Ini adalah kali kedua Mukhriz dipaksa meletak jawatan selepas kali pertama melakukannya pada tahun 2016 selepas mengkritik Datuk Seri Najib Razak berhubung skandal 1MDB.

Bekas Naib Presiden Umno itu kemudiannya meninggalkan parti dengan Tan Sri Muhyiddin Yassin sebelum bersatu dengan bapanya Tun Dr Mahathir untuk membentuk Parti Bersatu pada tahun 2016.

Baca juga artikel kami lain yang berkaitan:

Sumber: