Semalam, Perdana Menteri mengumumkan sebanyak 11 sektor ekonomi akan dibuka semula untuk negeri-negeri Fasa 1 di dalam Pelan Pemulihan Negara (PPN). Pengumuman tersebut bakal berkuat kuasa mulai hari ini. Keputusan tersebut dibuat setelah mengambil kira data penilaian risiko yang dijalankan oleh Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM), Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Hal Ehwal Pengguna (KPDNHEP).

Kerajaan juga membuat keputusan tersebut setelah melihat kepada perkembangan awal yang positif daripada Program Imunisasi Covid-19 Kebangsaan (PICK) di beberapa buah negeri iaitu di Wilayah Persekutuan Labuan, Sarawak, Negeri Sembilan dan negeri-negeri Lembah Klang (Selangor, Wilayah Persekutuan Kuala Lumpur dan Wilayah Persekutuan Putrajaya).

Keberkesanan program PICK telah mula menunjukkan hasilnya di Wilayah Persekutuan Labuan. Selepas mencatatkan imuniti kelompok minggu lalu, pada 14 Ogos yang lalu buat pertama kalinya, tidak ada kes jangkitan baharu Covid-19 yang dilaporkan di sana. Hanya sebanyak tiga kes baharu pula dicatatkan sehingga semalam. Wilayah Persekutuan Kuala Lumpur pula telah mencapai imuniti kelompok apabila vaksinasi penduduk dewasa telahpun mencapai 1,533,685 penduduk iaitu pada kadar 85 peratus.

Senarai sektor ekonomi yang kembali dibenarkan beroperasi

Kredit gambar: https://utusantv.com/2021/02/05/syukur-dibenar-buka-kedai-jika-tidak-kami-mungkin-makan-bubur/
  1. Kedai cuci kereta;
  2. Kedai elektrik dan elektronik;
  3. Kedai barangan rumah dan peralatan dapur;
  4. Kedai perabot;
  5. Kedai peralatan sukan;
  6. Kedai aksesori kereta;
  7. Pusat pengedaran dan jualan kereta;
  8. Pasar pagi dan pasar tani sahaja;
  9. Kedai pakaian, fesyen dan aksesori;
  10. Kedai barang kemas; dan
  11. Kedai gunting rambut dan pusat salun kecantikan (perkhidmatan gunting rambut asas sahaja).

SOP tambahan terhadap pemilik premis perniagaan

Kredit gambar: https://jacintamay.com/stores-closing-fitting-rooms-could-be-the-future/

Terdapat SOP kesihatan tambahan yang wajib dipatuhi bagi kedai pakaian, fesyen dan aksesori, kedai barang kemas serta kedai gunting rambut dan pusat salun kecantikan. Ia termasuklah memakai sarung tangan, menghadkan masa urusan antara pekerja dan pelanggan serta tidak membenarkan penggunaan bilik cuba pakaian (fitting room).

Pemilik premis yang tersenarai dalam perniagaan boleh beroperasi semula ini juga perlu memastikan pelanggan yang memasuki premis wajib menunjukkan sijil digital vaksinasi Covid-19 bagi membuktikan individu tersebut telah menerima vaksinasi lengkap.

Vaksinasi lengkap ialah 14 hari selepas tarikh suntikan dos kedua bagi vaksin jenis dua dos, dan 28 hari selepas tarikh suntikan bagi vaksin jenis satu dos.