Video skodeng perempuan dalam tandas pun siap ada Telegram group khas. Memang susah jadi perempuan sekarang ini. Menutup aurat atau tidak, ada sahaja cara lelaki tidak bermoral untuk mendapatkan bahan pemuas nafsu serakah mereka.

Baru-baru ini, seorang netizen di Twitter mendedahkan kewujudan sebuah Telegram group yang diwujudkan khas untuk menyediakan kandungan-kandungan video skodeng perempuan dalam tandas.

Telegram group tersebut diberi nama ‘Video Lucah Sahaja’. Untuk mengelak kewujudan group tersebut dihidu oleh pihak berkuasa dan orang ramai, admin group tersebut menulis nama group dan username akaun Telegram dengan karakter istimewa (special characters) – bukannya huruf biasa.

Ini bermakna, satu-satunya cara untuk anda menyertai group ini adalah melalui jemputan daripada kenalan anda yang kaki video lucah.

Berdasarkan tangkap layar yang diberikan netizen tersebut, ahli-ahli group ditawarkan koleksi video-video skodeng perempuan dalam tandas yang sentiasa dikemaskini dan tanpa had pada harga RM100 sahaja!

Apa yang lebih mengejutkan adalah, terdapat seramai lebih 20,000 orang sudah menjadi ahli group tersebut!

Jika hanya 10% sahaja ahli group tersebut yang membayar RM100 untuk mendapatkan kandungan video tersebut, ia sudah memberi pembekal video tak bermoral tersebut pulangan sekurang-kurangnya RM200,000 atau gaji RM16,667 sebulan!

Dan apa yang lebih menyedihkan, menurut maklumat dari netizen, sejak kewujudan group ini dihebahkan di Twitter, ia masih belum berjaya diturunkan. Sebaliknya ia sudah ditukar namanya dan bertambah saiz ahlinya sebanyak sekali ganda kepada lebih 48,000 pada masa artikel ini ditulis.

Netizen terkejut dan jijik

Reaksi netizen susulan pendedahan kewujudan Telegram group ini sememangnya sudah dijangka. Kebanyakannya terkejut dan rasa jijik dengan kewujudan group sebegini dan keramaian ahlinya.

https://twitter.com/bellakhann/status/1236878246051868672
https://twitter.com/syefee/status/1236666265764126722

Netizen kemudiannya mengambil tindakan melaporkan kewujudan group ini kepada Telegram dengan harapan ia diturunkan dengan kadar segera. Tetapi kami merasakan ia bakal mengambil masa dan momentum yang lama – sesuatu yang dikhuatiri akan hilang jika insiden ini tidak mendpaat perhatian media arus perdana.

Bukan isu baru

Apa yang pasti, pertumbuhan komuniti peminat video skodeng perempuan atau ‘sex voyeurism’ dalam bahasa Inggeris di Malaysia semakin meningkat seiring dengan pertumbuhan komuniti sama di negara Asia Timur lain.

Korea Selatan seperti contoh, pernah digegarkan dengan pengakuan dua bekas bintang K-Pop, Jung Joon-young dan Choi Jong-hoon yang mengaku menjadi ahli online group yang berkongsi video skodeng seks dan bergurau mahu memberi dadah kepada wanita untuk merogol mereka.

Embed from Getty Images

Jung dihukum penjara enam tahun manakala Choi dihukum penjara lima tahun. Kedua-duanya didapati bersalah merakam hubungan seks mereka untuk disebarkan ke online group tersebut.

Kes mereka merupakan salah satu daripada beberapa skandal jenayah seks yang membelenggu industri K-Pop.

Lee Seung-hyun, bekas ahli kumpulan Big Bang yang dikenali dengan nama Seungri, sedang didakwa di mahkamah selepas dituduh merasuah ahli perniagaan dengan pelacur untuk meningkatkan nilai pelaburan perniagaannya.

Pada hujung tahun lepas, aktres Goo Hara ditemui mati di rumahnya di Seoul selepas membunuh diri. Sebelum kematiannya, beliau dikatakan dibuli di Internet selepas bergaduh dengan bekas teman lelaki yang mengancam mahu mendedahkan video seks mereka berdua.