Dyson merupakan sebuah syarikat teknologi dari UK yang cukup terkenal dengan penciptaan vakum tanpa wayar. Beribu pejabat di Singapura, Dyson baru-baru ini memaklumkan cadangan mereka untuk menambah bilangan jurutera sedia ada mereka, dengan tambahan seramai 250 orang jurutera baharu diperlukan.

Dengan kekuatan seramai 1,400 orang staff di Singapura, rata-ratanya bekerja sebagai jurutera dan saintis tambahan pekerja ini adalah untuk memantapkan bahagian perisian dan kejuruteraan elektronik mereka. Selain itu juga, Dyson akan menambah 200 orang lagi pekerja baharu dalam bidang sains dan penyelidikan di kampus penyelidikan mereka di Malmesbury dan Hullavington, UK.

Selepas menghentikan cadangan pembinaan prototaip kereta berkuasa elektrik, nampaknya Dyson terus aktif dengan percambahan dan pelaburan baharu di Singapura. Baru-baru ini juga, syarikat tersebut memindahkan ibu pejabat mereka ke St James Power Station yang jauh lebih besar berbanding pejabat mereka sekarang.

Pelaburan baharu terhadap bidang kejuruteraan dan penyelidikan ini merupakan sebahagian daripada tambahan modal sebanyak RM15.266 bilion (USD 3.7 billion) bagi membangunkan teknologi robotik dan kecerdasan buatan bagi Dyson.

Sumber: