Putera Philip, suami kepada Ratu Elizabeth II meninggal dunia pagi ini (waktu tempatan) di Istana Windsor, pada usia 99 tahun. Berita sedih itu dimaklumkan menerusi kenyataan oleh Istana Buckingham.

Sebagai suami kepada Ratu Elizabeth II, Putera Philip tidak mempunyai apa-apa kuasa di bawah perlembagaan. Namun begitu, keberadaannya di samping Ratu Elizabeth II sepanjang pemerintahan baginda mulai 6 Februari 1952 hingga ke akhir hayatnya memberikan kekuatan dan kestabilan terhadap keluarga diraja tersebut.

Tujuh dekad disamping Ratu Elizabeth II

Kredit gambar: https://www.bbc.com/news/uk-10224525

Kepulangan Putera Philip dari menyertai Perang Dunia Kedua membawa kepada perkahwinan baginda bersama Ratu Elizabeth. Dilahirkan sebagai Prince Philip of Greece and Denmark, kerjaya baginda bermula di dalam Royal Navy seawal tahun 1939.

Bermula sebagai kadet, baginda cemerlang di dalam latihan di Royal Naval College, Dartmouth dan dipilih sebagai peserta terbaik. Kerjayanya meningkat naik menjadi midshipman kepada sub-lieutenant dan akhirnya lieutenant. Semasa menyertai Perang Dunia Kedua, Putera Philip pada usia 21 tahun telah dinaikkan pangkat sebagai first lieutenant, dan beliau adalah penyandang termuda ketika itu.

Perkenalannya dengan Puteri Elizabeth apabila diminta oleh bapa saudaranya Louis Mountbatten untuk menemani kedua-dua Puteri Elizabeth dan Margeret sewaktu lawatan diraja ke Royal Naval College. Mereka mula berutus surat dan Putera Philip meminta keizinan daripada King George VI untuk mengahwini Puteri Elizabeth.

Pada usia Puteri Elizabeth 21 tahun, King George VI memberikan kebenaran untuk baginda mengahwini Putera Philip. Putera Philip dan Puteri Elizabeth dikahwinkan di dalam satu upacara di Westminster Abbey, direkodkan dan dirakamkan oleh radio BBC kepada lebih 200 juta pendengar di seluruh dunia.

Kehilangan yang besar kepada keluarga diraja Windsor

Kredit gambar: https://www.bbc.com/news/uk-10224525

Selepas terus aktif disamping Ratu Elizabeth II, faktor kesihatan menyebabkan Putera Philip berhenti daripada menjalankan tugasnya sebagai keluarga diraja pada tahun 2017. Selaku Duke of Edinburgh beliau kerap kali menyertai pelbagai lawatan rasmi dan menjadi peneman yang setia kepada Ratu Elizabeth II.

Perkahwinan pasangan diraja ini dianggap sebagai simbol penyatuan, kekuatan, kestabilan dan harapan yang tinggi buat warga United Kingdom, sewaktu dunia disekeliling mereka berubah seiring peredaran zaman.

Tiga minggu yang lalu, Putera Philip baru sahaja pulang daripada menerima rawatan susulan penyakit jantungnya di Hospital St Bartholomew.

Dan pada hari ini, pada usia beliau 99 tahun, United Kingdom dan dunia kehilangan seorang putera yang prolifik buat selama-lamanya.

Sumber: