Kehilangan pesawat Malaysia Airlines (MAS) MH370 beberapa tahun lalu bukanlah satu-satunya kehilangan misteri kapal terbang. Sebenarnya, banyak kisah disebalik sejarah panjang dunia penerbangan selepas adik beradik Orville dan Wilbur Wright mencipta kapal terbang pertama.

Ada pesawat yang hilang sepenuhnya dari radar, selain terhempas tetapi hanya sedikit sahaja serpihan yang dijumpai. Terdapat juga pesawat yang secara tiba-tiba mengalami masalah teknikal, selain diserang dan ditembak jatuh seperti MH17.

Misteri kehilangan pesawat MH370 yang membawa bersama 239 penumpang termasuk anak kapal kekal sehingga hari ini. MH370 hilang kira-kira sejam selepas pesawat tersebut berlepas dari Lapangan Terbang Antarabangsa Sepang.

Kejadian paling hampir dengan pesawat MH370 ialah kehilangan Angola Boeing 727 pada tahun 2003. Pencarian besar-besaran oleh FBI dan CIA sehingga hari ini menemui kegagalan.

Namun begitu, terdapat juga kisah kapal terbang yang dicuri dan dirampas sebelum juruterbang tersebut menemui kegagalan. Ini kisah Sarjan Paul Meyer dan Hercules C-130 yang diterbangkannya ketika mabuk dan rindukan isteri dan anak-anak.

Perang Dingin dan kerinduan Paul Meyer

Kredit gambar: Stripes

Tidak seperti Perang Dunia Pertama dan Kedua, Perang Dingin merupakan tempoh ketegangan geopolitik antara kuasa-kuasa besar. Ia berlaku antara Blok Timur yang dikepalai oleh Kesatuan Soviet dan Blok Barat yang diketuai oleh Amerika Syarikat dan sekutunya NATO.

Pertelingkahan ini bermula apabila Doktrin Truman diumumkan pada tahun 1947 sehingga kejatuhan Kesatuan Soviet pada tahun 1991. Ketika era ini, Amerika Syarikat dan Kesatuan Soviet berlumba-luma menaja teknologi negara-negara sekutu mereka.

Tanpa sebarang tempoh masa perang yang jelas, Sarjan Paul Meyer mula merindui kampungnya. Dalam usianya yang muda, 23 tahun, Meyer dihantar bertugas di Kem Tentera Udara UK di East Anglia, Suffolk.

Oleh kerana kerinduan, Meyer memohon agar kembali ditempatkan di kem asalnya. Beliau merupakan veteren perang Vietnam yang bertugas sebagai mekanik di Kem Tentera Udara US di Langley, Virginia. Namun begitu, malangnya permohonan untuk pulang ditolak oleh pegawai atasannya.

Bagi melepaskan kemarahan, beliau mula minum sehingga mabuk. Semasa perjalanan pulang, Meyer ditahan kerana memandu dalam keadaan mabuk. Selepas dihantar pulang ke berek, Meyer diminta untuk berehat. Namun, ketika itu beliau mula merancang perjalanan pulang ke Langley.

Dari mekanik menjadi juruterbang

Kredit gambar: Lockheed Martin

Menggunakan nama samaran Kapten Epstein, Sarjan Paul Meyer menghubungi pusat kawalan. Meyer meminta agar sebuah pesawat Hercules C-130 diisi dengan minyak untuk satu penerbangan ke Amerika Syarikat. Dan permintaannya ditunaikan.

Sebagai ketua makenik bagi Hercules C-130, Meyer sangat arif tentang kapal terbang tersebut biarpun tidak mempunyai lesen penerbangan. Tanpa berlengah, ‘Kapten’ yang menyamar ini menaiki pesawat dan mula menerbangkannya.

Dari atas pesawat, beliau sempat menghubungi isterinya yang sedang tidur di Amerika Syarikat. Namun begitu, penerbangan solo pertama Meyer ini juga merupakan penerbangan beliau yang terakhir.

Laporan rasmi tentera memaklumkan kepada isterinya bahawa Hercules C-130 yang diterbangkan Meyer telah terhempas di Selat Inggeris. Namun begitu, ada juga versi yang mengatakan bahawa pesawat itu telah ditembak jatuh oleh tentera Amerika Syarikat sendiri bagi mengelakkan risiko luar jangka yang lain semasa Perang Dingin.

Isteri Meyer juga yakin dan percaya yang suaminya mampu terbang sendiri ke Amerika Syarikat kerana beliau fasih mengenai pesawat tersebut. Meyer juga dikatakan hanya terbang rendah kerana mahu mengelakkan pesawat itu dikesan oleh radar tentera.

Sehingga hari ini, peristiwa terhempasnya pesawat Hercules C-130 di Selat Inggeris ini masih lagi menjadi misteri. Jenazah Sarjan Paul Meyer juga tidak pernah ditemui oleh pihak tentera.