Laporan Jabatan Perangkaan Negara (DOSM) yang dikeluarkan hari ini mendedahkan rakyat Malaysia yang mempunyai pendapatan isi rumah kurang RM4,849 sebulan pada tahun 2019 digolongkan sebagai golongan B40.

Sementara itu, rakyat Malaysia yang berpendapatan isi rumah kurang RM2,208 pada tahun 2019 pula digolongkan sebagai golongan miskin.

Laporan ini diterbitkan oleh Ketua Jabatan Perangkaan Negara, Dato’ Seri Dr Mohd Uzir Mahidin dalam laporannya yang bertajuk Laporan Kajian Pendapatan Isi Rumah & Keperluan Asas 2019.

Menurut Mohd Uzir, hasil kajian jabatannya menunjukkan pada tahun 2019 sebanyak 2.91 juta isi rumah di Malaysia tergolong dalam golongan B40, iaitu yang mempunyai pendapatan isi rumah kurang RM4,849 sebulan.

Golongan M40, yang berpendapatan antara RM4,850 hingga RM10,959 sebulan pula mempunyai bilangan ahli sebanyak 2.91 juta isi rumah.

Manakala golongan T20, yang berpendapatan melebihi RM10,960 sebulan pula mempunyai bilangan ahli sebanyak 1.46 juta isi rumah.

Pendapatan isi rumah penduduk Kuala Lumpur dan Putrajaya paling tinggi

Pada tahun 2019, pendapatan purata Malaysia adalah sebanyak RM7,901. Manakala pendapatan media Malaysia adalah RM5,873.

Angka pendapatan purata pada tahun 2019 ini bertumbuh sebanyak 4.2%. Manakala pendapatan media pada tahun 2019 bertumbuh sebanyak 3.9%, berbanding 6.6% pada tahun 2016.

Jika pendapatan purata dan median ini dikira mengikut tempat duduk, pendapatan purata isi keluarga yang tinggal di bandar mencatatkan pertumbuhan 3.9% dari RM7,671 kepada RM8,635 pada tahun 2019.

Yang tinggal di luar bandar pula mempunyai pendapatan purata isi keluarga sebanyak RM5,004 pada tahun 2019 – naik hanya 0.8% berbanding tahun 2016.

Pendapatan median isi keluarga yang tinggal di bandar pada tahun 2019 pula adalah RM6,561 – naik 3.8% berbanding tahun 2016.

Di luar bandar, pendapatan median isi keluarga adalah RM3,828 – naik 3.3% berbanding tahun 2016.

Penduduk Kuala Lumpur mencatatkan pendapatan median isi rumah paling tinggi di Malaysia iaitu sebanyak RM10,549. Ini diikuti oleh Putrajaya (RM9,983), Selangor (RM8,210), Labuan (RM6,726), Johor (RM6,427), Pulau Pinang (RM6,169) dan Melaka (RM6,054).

Jurang pendapatan antara tempat tinggal dan bangsa

Untuk mengukur mengukur ketidaksamarataan ekonomi atau jurang pendapatan, pekali Gini digunakan. Pekali Gini diasaskan oleh pakar statistik Itali, Corrado Gini pada tahun 1912.

Secara asasnya pekali Gini kurang 0.2 bermakna kekayaan negara dibahagikan secara sama rata dengan sempurna.

Jika pekali Gini berada antara 0.2-0.3, ia bermakna kekayaan negara dibahagikan secara sama rata dengan baik.

Pekali Gini antara 0.3-0.4 pula bermakna kekayaan negara dibahagikan secara sama rata dengan memuaskan.

Pekali Gini antara 0.4-0.5 pula menandakan wujudnya ketidaksamarataan dalam pembahagian kekayaan negara dan wujudnya jurang pendapatan yang besar.

Sementara itu pekali Gini lebih tinggi daripada 0.5 pula menandakan wujudnya jurang pendapatan yang sangat besar.

Berdasarkan laporan Jabatan Perangkaan Negara, jurang pendapatan boleh guna (gaji kasar tolak komitmen kewangan dengan bank) secara umum di Malaysia meningkat sedikit dari 0.391 (2016) kepada 0.393 (2019).

Di kawasan bandar, jurang pendapatan boleh guna meningkat dari 0.380 ke 0.385. Tetapi di kawasan luar bandar, jurang pendapatan boleh guna menurun dari 0.365 ke 0.361.

Sementara itu jurang pendapatan boleh guna Bumiputera menurun dari 0.380 ke 0.377. Tetapi bagi kaum Cina, ia meningkat dari 0.396 ke 0.399. Begitu juga dengan kaum India, di mana ia meningkat dari 0.372 ke 0.399.

Baca juga artikel lain yang berkaitan: