Carsome Sdn Bhd merupakan syarikat jualan kereta terpakai dalam talian yang terbesar di Asia Tenggara. Menurut laporan, Carsome sedang mempertimbangkan untuk disenaraikan di bursa saham Amerika Syarikat. Penyenaraian tersebut dijangka akan menjadikan syarikat tersebut sebagai syarikat unicorn pertama di Malaysia.

Bermula di Malaysia pada tahun 2015, Carsome kini telahpun menembusi operasi di empat negara iaitu Malaysia, Indonesia, Thailand dan Singapura di lebih 50 buah bandar. Platform kereta terpakai dalam talian itu sedang bekerjasama dengan badan kewangan antarabangsa dan meninjau penilaian kira-kira RM8.3 bilion ($2 bilion).

Kebiasaannya, syarikat unicorn merujuk kepada syarikat dengan penilaian dengan nilai melebihi RM4.15 bilion ($1 bilion). Terdapat dua cara penyenaraian yang biasanya digunakan iaitu melalui penggabungan dengan syarikat pengambilalihan tujuan khas (SPAC) atau menerusi tawaran awam permulaan (IPO) yang konvensional. Proses bagi penyenaraian Carsome mungkin akan mula digerakkan pada akhir tahun ini.

Carsome dijangka akan akan mengikuti jejak langkah Grab Holdings Inc yang disenaraikan di Amerika Syarikat melalui penggabungan dengan syarikat lain.

Asal usul syarikat Carsome Sdn Bhd

Kredit gambar: https://www.carsome.my/news/item/carsome-kelana-jaya-is-now-bigger-and-better

Carsome merupakan platform jualan kereta terpakai dalam talian terbesar di Asia Tenggara. Diasaskan dengan modal teroka sebanyak US$350,000 pada tahun 2015, kini syarikat ini mempunyai 8,000 orang ejen penjual di empat negara Asia Tenggara.

Setakat tahun lalu, sebanyak 40,000 kereta berjaya dijual dalam tempoh setahun dengan nilai transaksi berjumlah RM2.5 bilion ($600 juta). Pengguna platform tersebut boleh membida bagi mendapatkan harga jualan terbaik sebelum pembelian dibuat dengan 2.3 juta bidaan telahpun berjalan di laman web Carsome.

Memasuki pasaran Singapura hanya selepas setahun

Kredit gabar: https://sg.finance.yahoo.com/news/carsome-aims-to-transform-usedcar-trading-business-with-funds-raised-cfo-juliet-zhu-092929805.html?

Selepas diasaskan pada tahun 2015, Carsome berjaya menembusi pasaran Singapura pada tahun berikutnya iaitu 2016. Pada tahun tersebut juga, syarikat tersebut berjaya meraih dana bernilai $2 juta bagi tahap pendanaan Siri A. Sebanyak 1,000 buah kenderaan berjaya dijual pada tahun tersebut.

Pada tahun 2017, Carsome berjaya menembusi pasaran Indonesia dan Thailand. Pada tahun 2017 juga, Carsome berjaya meraih dana bernilai $6 juta bagi tahap pendanaan Siri A2.

Menjelang tahun 2018, Carsome mengukuhkan perniagaan mereka di empat buah negara Asia Tenggara dengan melepasi jualan 10,000 buah kenderaan. Pada tahun tersebut, Carsome berjaya meraih dana bernilai $19 juta bagi tahap pendanaan Siri B dan $8 juta bagi tahap pendanaan Siri B2.

Apabila dilihat sudah berjaya memberikan perkhidmatan sistem inventori kepada pengedar kenderaan terpakai, Carsome menubuhkan Carsome Capital yang membawa perkhidmatan pembiayaan pula kepada para pembeli. Pada tahun 2019 pula, Carsome berjaya meraih dana bernilai $50 juta bagi tahap pendanaan Siri C.

Carsome Capital pula mengumumkan kerjasama dengan CIMB Bank pada tahun 2020 sebagai rakan perkhidmatan kewangan mereka.

Carsome mempunyai institusi teknikal di Malaysia

Kredit gambar: https://www.academy.carsome.my/?pgid=kji3sxbu-2858d2c2-26c6-472c-a192-eb2be9fd3d44

Akademi Carsome ialah pusat latihan Sistem Latihan Dual Nasional (SLDN) yang diiktiraf Jabatan Pembangunan Kemahiran di bawah Kementerian Sumber Manusia.

Dengan menawarkan program latihan berorientasikan industri yang menggabungkan latihan institusi dan tempat kerja, pelajar akan melaksanakan 30 peratus pelajaran teori di Akademi Carsome, diikuti 70 peratus latihan industri di mana-mana pusat pemeriksaan Carsome di Malaysia.

Akademi Carsome turut menjanjikan pekerjaan di Carsome selepas tamat pengajian. Kursus selama setahun itu membabitkan kos RM8,000 dan dipulangkan sepenuhnya selepas berjaya dalam penempatan dan tempoh bersama Carsome.

Pinjaman pengajian turut disediakan kepada pelajar yang berhasrat melanjutkan pengajian mereka di akedemi itu.

One stop center jual beli kereta terpakai di Asia Tenggara

Kredit gambar: https://www.academy.carsome.my/?pgid=kji3sxbu-764674ad-5bfe-4cd5-9eb7-5110070d7ec7

Carsome bermula sebagai platform bagi penjual kereta yang mahu menjual kereta mereka kepada ejen jualan yang boleh dipercayai. Penjual hanya perlu membuat tempahan slot secara dalam talian. Kemudiannya, kereta tersebut akan disemak oleh juruteknik terlatih di Carsome Inspection Center. Terdapat 175 semakan yang akan dibuat dalam masa 30 minit sahaja dan kemudiannya laporan keadaan kereta akan dikeluarkan. Proses ini menjamin kredibiliti kereta terpakai tersebut disamping memberi kepercayaan kepada pembeli berikutnya.

Kenderaan tersebut akan melalui proses bidaan secara dalam talian yang akan dijalankan oleh Carsome. Selepas bidaan berjaya dengan harga yang dipersetujui, Carsome akan membantu proses penukaran nama kenderaan tersebut kepada pembeli yang berjaya.

Dari semakan kenderaan, penjualan secara bidaan yang memberikan nilai terbaik, pinjaman kewangan kepada bakal pembeli dan proses pertukaran nama yang dipermudahkan, Carsome dilihat berjaya menjadi one stop center bagi penjual dan pembeli kereta terpakai di Asia Tenggara dan kini mahu membawa model perniagaan ini ke Amerika Syarikat.