Belum pun selesai masalah wabak COVID-19, Lubnan menghadapi satu lagi malapetaka apabila dikejutkan dengan dua letupan kuat menggegarkan Beirut yang mana telah mengorbankan 73 nyawa dan hampir 4,000 orang dilaporkan cedera.

Letupan pada jam 6.00 petang waktu tempatan [11.00 malam waktu Malaysia] itu dikatakan berlaku di kawasan pelabuhan Beirut dan turut menyebabkan beratus-ratus kediaman penduduk berhampiran juga terjejas teruk berikutan insiden tersebut.

Impak letupan itu turut dirasai sehingga ke Cyprus yang mana negara di Mediterranean Timur itu terletak kira-kira 200 kilometer daripada kawasan insiden tersebut berlaku.

Perdana Menteri Lubnan, Hassan Diab yang tegas mahu mencari dalang kepada insiden hitam itu tidak merasakan ia adalah bermotifkan serangan bom.

Sebaliknya Hassan yang mula menjawat jawatan Perdana Menteri pada 21 Januari lalu menegaskan bahawa punca letupan itu adalah daripada baja pertanian ammonium nitrat seberat 2,750 tan disimpan dalam gudang pelabuhan tersebut.

“Sesiapa yang bertanggungjawab perlu dihukum kerana perbuatan mereka,” ujar pemimpin berusia 61 tahun itu.

Baja itu dikatakan telah dirampas pihak berkuasa beberapa tahun yang lalu dan disimpan di dalam gudang tersebut.

Bagaimanapun menurut laporan Harian Metro, seorang profesor kimia dari University of Rhode Island mengakui amat sukar untuk meletupkan baja ammonium nitrat itu.

“Jika anda melihat video (letupan Beirut), anda akan melihat asap hitam, anda akan melihat asap merah, itu adalah tindak balas (kimia) yang tidak lengkap.”

“Saya fikir ada letupan kecil yang menyebabkan tindak balas terhadap ammonium nitrat itu. Sama ada letupan kecil adalah disengajakan atau tidak, itu saya tidak ketahui,” katanya.

Dengan erti kata lebih mudah, baja tersebut perlu untuk disimpan jauh daripada bahan bakar dan tidak terdedah kepada suhu yang tinggi.

Dalam pada itu, menerusi catatan di akaun Twitter Presiden Lubnan, Michel Aoun mengatakan bahawa menyimpan 2,750 tan Ammonium Nitrat di gudang tanpa langkah keselamatan satu perkara yang tidak dapat diterima.

Kredit foto: Morad News