Pada minggu lalu, Mark Zuckerberg mengumumkan penjenamaan semula Facebook Inc. Dikenali sebagai Meta, ia kini menjadi syarikat induk kepada beberapa aplikasi dan program seperti Facebook, Instagram, WhatsApp dan Oculus.

Sepanjang tahun 2020, Facebook Inc mencatatkan pendapatan sebelum cukai berjumlah $85.965 bilion. Jumlah tersebut meletakkan gergasi teknologi itu di tangga ke 34 dalam senarai syarikat Fortune 500, berdasarkan pendapatan mereka. Ia juga merupakan peningkatan sebanyak 22 peratus berbanding $70.697 bilion yang dicatatkan pada tahun 2019.

Struktur syarikat stabil seperti Facebook Inc menjadikan ramai yang tertanya-tanya mengapa perlu berlakunya rombakan. Terdapat juga yang mengandaikan aplikasi Facebook sedia ada bakal bertukar nama kepada Meta, sama seperti syarikat induknya.

Ayuh telusuri perbincangan berkait pemilihan nama, masa depan dan kaitannya dengan metaverse.

Dari novel, metaverse kini dianggap masa depan media sosial

Kredit gambar: Open Culture

Pemilihan nama Meta adalah melambangkan masa depan yang melangkaui rangkaian media sosial itu. Dengan penjenamaan semula tersebut, Meta menumpukan kepada pembinaan metaverse iaitu persekitaran maya perkongsian yang bakal menjadi pengganti kepada internet mudah alih.

Metaverse merupakan istilah yang diperkenalkan oleh novel Snow Crash tiga dekad lalu dan kini menarik perhatian ramai di Silicon Valley. Ia merujuk secara meluas kepada idea alam maya dikongsi dan boleh diakses oleh orang ramai yang menggunakan peranti berbeza.

Menurut Mark Zuckerberg, nama Facebook Inc juga sangat berkait rapat dengan produk pertama mereka. Maka, ia tidak lagi dianggap sesuai untuk mewakili usaha baharu yang sedang dilakukan pada hari ini dan masa akan datang.

Ada apa dengan metaverse?

Kredit gambar: Upload VR

Sebuah filem arahan Steven Spielberg pada tahun 2018 dianggap sebagai gambaran terbaik metaverse dalam realiti. Ready Player One yang dilakonkan oleh Tye Sheridan, Olivia Cooke dan Ben Mendelsohn memaparkan kehidupan dunia pada tahun 2045. Latar masa tersebut menunjukkan penduduk dunia menggunakan sepenuhnya teknologi realiti maya (VR) untuk keluar dari belenggu kehidupan mereka.

Biarpun ramai menganggap metaverse hanyalah versi canggih realiti maya, ada yang berpendapat ia bakal menjadi internet di masa hadapan. Pengguna metaverse bakal memasuki pelbagai persekitaran digital yang tersambung kepada dunia maya tanpa komputer.

Ini tidak lagi hanya menggunakan realiti maya untuk bermain game seperti yang ada sekarang. Melalui metaverse juga, pengguna juga boleh bekerja, bermain, menghadiri konsert, menonton wayang atau melepak dengan rakan-rakan dari serata dunia di persekitaran yang sama.

Ciri-ciri metaverse

Kredit gambar: Dazed

Metaverse dapat dikenali dengan beberapa ciri seperti:

  1. Kekal: Seperti dunia media sosial, metaverse tidak memiliki sebarang tarikh luput dan tidak akan berakhir.
  2. Masa nyata: Metaverse bergerak di dalam masa yang nyata (real time).
  3. Fungsi ekonomi: Pengguna boleh melakukan urusan jual beli di dalam metaverse, namun wang kripto bakal menggantikan wang fiat sepenuhnya.
  4. Jambatan kepada dunia nyata: Ia berungsi sebagai penyambung antara dunia digital dan dunia nyata.
  5. Ruang terbuka kepada pengguna: Tidak seperti media sosial sebelum ini, metaverse dibangunkan dengan kandungan pengguna.

Maka, pemilihan nama Meta menunjukkan Facebook Inc jauh lebih bersedia ke arah metaverse. Namun begtu, mengambil kira sejarah Facebook dan penggunaan data pengguna, metaverse perlu dibina dengan mengambil kira keselamatan dan kerahsiaan pengguna.