Seorang pemilik syarikat pengangkutan lori di Chicago berputih mata selepas kereta sport Ferrari miliknya rosak teruk selepas dirempuh sebuah lori yang dipandu pekerja yang tidak berpuas hati.
Kejadian yang berlaku di Amerika Syarikat itu dikatakan berpunca apabila pemandu lori di syarikat itu tidak mendapat lori baru untuk operasi kerjanya.
Netizen di media sosial telah membuat pelbagai spekulasi berkenaan kejadian itu dan ada juga yang mengatakan pekerja itu mengamuk selepas majikan tidak membayar gajinya.
Dalam gambar yang tular di media sosial, kelihatan sebuah lori berwarna putih merempuh bahagian hadapan sebuah Ferrari GTC4Lusso.
Sejumlah pemandu lori di Illinois yang menyiarkan kejadian ini di laman sosial berkata, pelaku sengaja merempuh kereta eksotik dari Itali yang dimiliki oleh bos syarikat pengangkutan itu selepas berlaku perselisihan faham.
“Pemandu tersebut sebenarnya dijanjikan dengan lori keluaran tahun 2020, tetapi dia dinilai tidak cukup layak untuk mendapatkannya. Dia marah lalu merempuh kereta pemilik syarikat menggunakan lori,” tulis Cordoba Beto, seorang pemandu lori di Illinois dalam catatan Facebooknya.
Difahamkan juga pemandu lori tersebut melompat keluar dari lori sebelum membiarkan lori tersebut merempuh supercar berkenaan. Ferrari GTC4Lusso itu berharga kira-kira USD250,000 (RM 1,083,500).
Baca juga artikel kami lain yang mungkin menarik perhatian anda: