Facebook dilaporkan akan terus membenarkan pekerjanya untuk bekerja dari rumah, biarpun terdapat syarikat gergasi teknologi lain yang menolak idea itu. Syarikat media sosial itu memaklumkan bahawa bekerja secara jarak jauh adalah masa hadapan.
Facebook juga membayar sebanyak RM4,129.50 (USD1,000) untuk pekerjanya membeli peralatan keperluan pejabat di rumah. Pekerja di Facebook boleh memohon untuk terus kekal bekerja dari rumah, tertakluk kepada kelulusan pengurus.
Pemilik perniagaan di Silicon Valley nampaknya dilihat bercampur baur dalam keputusan peralihan dari bekerja di pejabat kepada bekerja secara jarak jauh selepas pandemik berakhir.
Mei tahun lalu, pemilik Facebook Mark Zuckerberg meramalkan 50 peratus daripada pekerja syarikat itu akan terus bekerja secara jarak jauh dalam tempoh lima hingga ke sepuluh tahun akan datang. Ketua Pegawai Eksekutif Twitter, Jack Dorsey pula sebelum ini mengumumkan bahawa pekerjanya “kini boleh bekerja dari rumah selama-lamanya”.
Terdapat juga syarikat-syarikat teknologi yang lain menolak idea ini.
Dalam satu persidangan pada bulan Oktober lalu, Ketua Pegawai Eksekutif Microsoft, Satya Nadella dilaporkan berkata beliau merasakan kurangnya pembahagian antara kehidupan peribadi dan kehidupan kerja. Bekerja dari rumah menyebabkan “kadang-kadang terasa seperti anda sedang tidur di tempat kerja”.
Bulan lalu, Google mengumumkan bahawa ia akan mengumumkan garis masa yang sesuai untuk pekerja mereka kembali ke pejabat.
Amazon turut dilihat lebih cenderung untuk memanggil kembali pekerjanya bekerja di pejabat. Syarikat tersebut dilaporkan lebih percaya untuk pekerja hadir ke pejabat bagi mencipta, berkolaborasi, dan belajar bersama dengan cara yang paling berkesan.