Gergasi teknologi dari China, Alibaba didenda RM 11.496 bilion (USD2.78 bilion) atas kesalahan menggunakan kedudukan syarikat berkenaan dan monopoli di dalam jualan e-dagang. Pihak berkuasa China bersetuju untuk mengenakan denda tersebut selepas menamatkan siasatan kes anti-monopoli ke atas Alibaba. Siasatan tersebut telah bermula sejak Disember tahun lalu oleh Pentadbiran Negara China bagi Peraturan Pasaran.

Alibaba, syarikat e-dagang yang diasaskan oleh Jack Ma di dalam kenyataan berasingan memaklumkan bahawa mereka menerima hukuman terbabit. Tindakan susulan akan diambil bagi menyusun pelan perniagaan baharu untuk memastikan operasi syarikatnya patuh terhadap undang-undang anti-monopoli. Denda yang dikenakan tersebut merupakan satu hukuman tegas oleh pihak berkuasa di China terhadap platform teknologi e-dagang utama mereka.

Siasatan yang dijalankan tertumpu terhadap dakwaan Alibaba yang hanya membenarkan peniaga menjual barang menerusi platform syarikat mereka sahaja. Peniaga kemudiannya tidak dibenarkan menjual barangan terbabit di laman web pesaing Alibaba yang lain. Terdapat juga dakwaan penyalagunaan data peribadi pengguna oleh Alibaba.

Kesan tindakan ini terhadap Alibaba

Kredit gambar: https://fortune.com/2014/09/19/alibaba-ipo-its-official-wall-street-wins-you-will-lose/

Tidak dapat dipastikan bagaimana Alibaba akan membuat pembayaran denda yang mahal seperti ini. Menurut laporan media tempatan di sana, jumlah tersebut merupakan nilai 4 peratus daripada keuntungan syarikat bagi tahun kewangan 2019, iaitu RM101.85 bilion.

Pun begitu, wang keuntungan tersebut sudah pasti telah dibayar kepada pemegang saham sebagai dividen dan juga menampung operasi mereka yang saban tahun berkembang pesat.

Nampaknya, Alibaba perlu menukarkan strategi syarikat untuk menggalakkan persaingan yang lebih sihat. Syarikat teknologi lain juga akan menjadi perhatian agar dapat memberikan pulangan yang terbaik kepada pengguna dan pelanggan mereka.

Kes anti-monopoli lain di seluruh dunia

Kredit gambar: https://truthonthemarket.com/2019/08/08/why-dont-people-talk-about-breaking-up-microsoft/

Dengan pelaksanaan Sherman Antitrust Act pada tahun 1890, Amerika Syarikat telahpun mengenakan pelbagai tindakan undang-undang bagi menghalang monopoli di negara tersebut. Syarikat AT&T pernah dikenakan tindakan paksa oleh Kerajaan AS untuk memecahkan monopoli mereka terhadap industri kabel telefon pada tahun 1980-an.

Begitu juga dengan Microsoft pada tahun 1998 apabila kejatuhan Netscape akibat daripada monopoli oleh Microsoft. Seramai 20 orang pendakwaraya bagi 20 negeri berbeza di Amerika Syarikat mengheret Microsoft ke muka pengadilan akibat tuduhan melanggar undang-undang anti monopoli. Microsoft didakwa memaksa pelanggan dengan menggunakan teknik software bundle, menghadkan aplikasi lain dari beroperasi di dalam sistem mereka serta menyusahkan proses untuk menyahgunakan Internet Explorer.

Microsoft didapati bersalah dan hampir gulung tikar pada ketika itu apabila diarahkan untuk memecahkan syarikat mereka kepada dua entiti berbeza. Akhirnya rayuan mereka diterima dan sebagai imbalan, Microsoft perlu berkongsi penggunaan aplikasi lain di dalam sistem mereka.

Malaysia juga mempunyai undang-undang anti-monopoli yang dinamakan sebagai Akta Persaingan 2010. Dikuatkuasakan oleh Suruhanjaya Persaingan Malaysia (MyCC), sebuah badan di bawah Kementerian Perdagangan Dalam Negeri, mereka pernah mendenda Dagang Net dengan jumlah RM10.3 juta atas kesalahan melanggar Akta Persaingan. MyEG Services juga pernah didenda sebanyak RM9.337 juta oleh MyCC atas kesalahan menyalahgunakan kedudukan dominan mereka.

Sumber: