Warga Lombok Timur dan Nusa Tenggara Timur tidak menghiraukan arahan polis supaya penjarakan sosial dilakukan demi menyambut kepulangan dua penyanyi dari kawasan mereka yang tersingkir dari pertandingan Liga Dangdut Indonesia 2020.
Menurut laporan Kompas, kepulangan Eva Yolanda disambut oleh warga kampungnya di Desa Lando, Lombok Timur pada 5 April selepas tersingkir dari rancangan itu sehari sebelumnya.
Berdasarkan dari sebuah video yang tular di media sosial, kelihatan warga kampung Eva berkerumun dan bersesakan sambil berteriak meminta beliau menyanyikan lagu tanpa mempedulikan penjarakan sosial.
Meskipun polis hadir semasa kepulangan Eva untuk mengelakkan beliau dikerumuni orang ramai, mereka tidak dapat berbuat apa-apa apabila warga Lombok Timur tetap berdegil mengerumuni penyanyi dangdut tersebut.
Wakil Ketua Gugus Tugas Penanganan Covid-19 Lombok Timur yang bernama Tunggul berkata:
“Ya memang kalau namanya peminat, appatah lagi kawan-kawannya dari zaman kecil di kampung, jadi semua ingin bertemu Eva. Kami sudah berusaha untuk menyuraikan sambutan kepulangan Eva. Mujur masyarakat akhirnya bubar.
“Mohon maaf kalau masyarakat anggap kami garang. Kami dah beritahu banyak kali. Kami tak henti-hentinya mengingatkan masyarakat agar mematuhi peraturan Menteri Kesehatan dan Kapolri untuk menghindari perarakan sebegini dan menjaga jarak serta menjaga kesihatan.”
Lombok Timur tergolong sebagai kawasan merah oleh kerajaan Indonesia selepas dua warganya disahkan positif COVID-19.
Kejadian itu tidak hanya berlaku di kampung Eva.
Sehari sebelum itu, kepulangan Hamid Aan juga disambut oleh ribuan warga Kabupaten Alor, Kepulauan Nusa Tenggara Timur. Orang ramai bersesak-sesak dari Bandara Mali untuk menjemput Hamid sehinggalah memenuhkan ruang halaman rumah Hamid di Desa Alila Selatan.
(Kapolda) Ketua pihak polis daerah dilaporkan telah memanggil wakil Bupati (pihak berkuasa tempatan, PBT) Alor dan ketua polis Alor (Kapolres) untuk memberi penjelasan mengapa banyak orang awam berkumpul menyambut kepulangan Hamid.
Sementara itu pengacara Liga Dangdut Indonesia, Gilang Dirga mengingatkan peminat rancangan itu supaya mematuhi peraturan kerajaan yang mengarahkan penjarakan sosial dilakukan untuk membendung penyebaran wabak COVID-19.
“Peserta yang tersingkir juga harus mematuhi peraturan pemerintah untuk menjalani kuarantin di rumah selama 14 hari.”