Simon Weckert menemui satu cara untuk mencipta kesesakan jalan raya di aplikasi Google Maps sekaligus mengelakkan kereta lain daripada lalu – dengan membawa 99 telefon pintar bersama-samanya.

Lelaki Jerman tersebut membawa 99 telefon pintar di dalam kereta sorongnya berjalan-jalan di sekitar bandar Berlin. Weckert memberitahu di laman sesawanganya yang beliau mahu melihat ‘sama ada jalan yang hijau (tidak sesak) boleh ditukar menjadi jalan yang merah (jalan sesak)’.

Simon Weckert juga mahu mencari apakah ada kesan tindakan beliau ini kepada keadaan trafik di dunia sebenar. Berdasarkan video yang dimuat naiknya, hasil kajian beliau memberikan hasil yang diharapkannya.

Kemana-mana arah jalan yang dilalui oleh Weckert bersama kereta sorong yang berisi 99 telefon pintarnya, jalan di Google Maps serta-merta menjadi merah – menandakan jalan sesak teruk. Sedangkan jalan yang dilalui Weckert lengang!

Besar kemungkinan jalan yang dlalui oleh Weckert dan kereta sorongnya dielak oleh pengguna jalan lain yang mahu mengelak ‘kesesakan jalan’ palsu yang dibuat oleh beliau.

Netizen yang menyaksikan video hasil kajian Weckert rata-ratanya memuji beliau kerana ‘memberi idea bagaimana untuk melancarkan keadaan trafik jalan’.