Warganegara Indonesia di media sosial memuji inisiatif kerajaan Malaysia membantu rakyat yang pendapatannya terjejas akibat perlaksanaan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) sejak 18 Mac lepas.
Rata-rata mereka mengharapkan kerajaan Indonesia dapat membuat pakej sama seperti Pakej Rangsangan Ekonomi Prihatin Rakyat (PRIHATIN).
PRIHATIN yang diumumkan oleh Perdana Menteri Tan Sri Muhyiddin Yassin memberi tumpuan kepada golongan B40, M40 dan perusahaan kecil dan sederhana (PKS).
Begitulah intisari satu video di YouTube yang dimuat naik oleh saluran ‘Macan Idealis’ bertajuk “Mengejutkan! Beginilah Kondisi Terkini di Malaysia”. Ia telah ditonton lebih 400,000 dan menerima lebih 5,000 komen.
Saluran Macan Idealis yang mempunyai 630,000 pengikut, telah menemuramah seorang pakar bioteknologi, Dr Irwandi Jaswir dari Medan, Sumatera mengenai situasi PKP di Malaysia.
Dr Irwandi ketika ini bertugas sebagai koordinator kajian Universiti Islam Antarabangsa, Pusat Kajian Industri Halal.
Menurut Dr Irwandi, beliau memuji 14 perkara mengenai cara Malaysia menangani wabak COVID-19:
1. Arahan dan siaran media datangnya dari satu sumber.
2. Data mengenai wabak dikongsi kepada semua rakyat secara transparen.
3. Teliti menjejak kluster jangkitan.
4. Menguatkuasakan PKP di seluruh negara.
5. Keperluan asas tetap ada dan beroperasi ketika PKP.
6. Dana PRIHATIN membantu rakyat yang paling memerlukan dan gelandangan diberi tempat berlindung.
7. Giat menaik taraf kemudahan perubatan hospital kerajaan.
8. Pemberian moratorium selama 6 bulan.
9. Ekonomi meleset kerana PKP dikuatkuasa. Tetapi kerajaan bersikap proaktif membantu PKS.
10. Kepatuhan PKP melebihi 90%.
11. Politik stabil walaupun kerajaan berganti.
12. Polis tegas menjalankan tugas.
13. Kelas/kuliah digantikan dengan pembelajaran atas talian.
14. Negara luar minta nasihat kepakaran Malaysia menangani wabak COVID-19.
Di Indonesia, kerajaan mereka telah menguatkuasa PKP yang dinamakan Pembatasan Sosial Berskala Besar (PSBB) sejak 16 Mac lepas secara berperingkat.
Pada 9 April lepas, Presiden Joko Widodo telah mengumumkan bantuan kewangan kepada golongan memerlukan di seluruh negara.
Ia merangkumi bantuan kewangan Rp600,000 (RM167) sebulan selama tiga bulan, bantuan kad sembako (kad barangan asas) sebanyak Rp200,000 (RM56) sebulan untuk tempoh sembilan bulan kepada 20 juta keluarga.