Pos Malaysia Berhad selalu dianggap sebagai syarikat tertua yang masih beroperasi di negara kita. Bermula di Negeri-Negeri Selat sejak 1800, ia beroperasi untuk menghantar surat bagi pihak British.

Pulau Pinang, Melaka dan Singapura merupakan negeri-negeri terawal dengan sistem pos. Ia berkembang sebagai sebuah jabatan kerajaan apabila Negeri-Negeri Melayu Bersekutu seperti Perak, Negeri Sembilan, Selangor dan Pahang mengoperasikan mel dan telegraf.

Diswastakan sejak tahun 1992, Pos Malaysia kini sukar untuk mengekalkan kerelevenannya. Peratusan penghantaran surat dewasa ini mengalami kemorosotan gara-gara perkembangan teknologi komunikasi internet. Pada zaman e-mel dan Whatsapp, Pos masih lagi mencetak setem yang dijual kepada pejabat-pejabat kerajaan dan institusi perbankan.

Tidak menghairankan apabila kebelakangan ini, syarikat ini dirundung kerugian demi kerugian di atas operasinya. Sepanjang tahun lalu sahaja, disebalik pendapatan RM2.3 bilion yang dicatatkan, Pos mengalami kerugian sebanyak RM300 juta.

Berkuat kuasa 1 Ogos 2021, Pos Malaysia Bhd telah melantik Charles Brewer sebagai Ketua Pegawai Eksekutif (CEO) kumpulan yang baharu.

Siapakah Charles Brewer?

Kredit gambar: KLSE Screener

Charles Brewer memiliki pengalaman yang luas dalam perkhidmatan logistik dan pos. Beliau memulakan kerjayanya dengan DHL pada 1984 ketika berusia 19 tahun. Jawatan pertamanya adalah sebagai penghantar mel dan menghabiskan usia selama 34 tahun dengan firma itu melalui pelbagai peranan.

Brewer juga pernah mengetuai operasi untuk gergasi logistik global di beberapa negara termasuk di Malaysia antara 2004 dan 2006 sebagai CEO DHL Express. Jawatan akhir beliau adalah sebagai Ketua Pegawai Operasi Pos Kanada sebelum menyertai Pos Malaysia.

Pelan pemulihan Pos Malaysia

Kredit gambar: The Edge Markets

Charles Brewer menggariskan tiga fasa penting untuk dilaksanakan dalam tempoh terdekat bagi mengembalikan keuntungan Pos Malaysia. Tumpuan utama adalah memperbetulkan asas perniagaan syarikat mel nasional itu. Ia bagi memacu perubahan dalam aspek prestasi perniagaan terasnya.

Fasa kedua adalah untuk mengembalikan keuntungan syarikat yang ketika ini bergelut dengan kerugian setiap tahun. Bagi tempoh sembilan bulan berakhir 30 September 2021, kumpulan merekodkan kerugian sebelum cukai RM206 juta, dengan pendapatan diraih sebanyak RM1.66 bilion. Jumlah tersebut adalah lebih kecil berbanding kerugian RM119.4 juta yang dicatatkan pada suku terdahulu tahun lalu.

Fasa ketiga menurut idea Brewer adalah mewujudkan budaya berasaskan pelanggan yang diperbaharui dengan fokus bagi menggembirakan mereka. Pos Malaysia memiliki kekuatan anggota dengan lebih 20,000 kakitangan di seluruh negara. Maka, budaya berasaskan pelanggan akan bermula dari 692 buah pejabat pos, 159 cawangan pos mini, 71 agen pos bertauliah dan 50 premis khas Pos Laju.

HLIB Research menjangkakan Pos Malaysia Bhd bakal mencatatkan keuntungan sebelum cukai menjelang separuh pertama tahun kewangan 2022.