Dengan ciri terbaru ‘Off-Facebook Activity’, anda boleh periksa berapa banyak maklumat peribadi anda yang Facebook intip.

Jika anda dah lama pakai Facebook, anda pasti tahu aplikasi laman sosial tersebut sentiasa intip atau ‘skodeng’ segala aktiviti anda walaupun anda tak guna Facebook. Sebab itulah anda kena beri akses kamera dan mikrofon smartphone anda ketika mula-mula memasang aplikasi tersebut.

Kalau anda tak tahu, mungkin ini berita baru untuk anda.

Sebelum ini, pengguna tak tahu apa yang Facebook intip dan berapa banyak maklumat yang Facebook dapat daripada kehidupan kita.

Tetapi kini dengan ciri terbaru ‘Off-Facebook Activity’, anda boleh periksa berapa banyak maklumat peribadi anda yang diintip oleh Facebook tanpa menggunakan kamera dan mikrofon anda.

Walaupun saya off Facebook di telefon saya, mereka masih tahu saya menggunakan aplikasi Truecaller apabila menerima panggilan daripada nombor tak dikenali pada 21 April.

Pada hari sama juga, Facebook tahu saya ada membeli-belah dalam talian di Shopee, menjawab kajian pendapat di YouGov, melawat laman web pemaju hartanah IJM Land dan menggunakan aplikasi Muslim Pro.

Dalam ciri Off-Facebook Activity, Facebook dapat mengintip segala aktiviti saya di Internet selama 180 hari.

Bagaimana intipan Facebook boleh mempengaruhi pemikiran kita

Ciri ini merupakan penambahan yang dimasukkan Facebook selepas Mark Zuckerberg disoal-siasat oleh Kongres Amerika Syarikat susulan skandal Cambridge Analytica pada 2018. Ia membolehkan kita untuk ‘clear the history’ di Facebook – sesuatu yang biasa kita buat di pelayar, tetapi sebelum ini mustahil di Facebook.

Apa yang Facebook buat ini malangnya bukanlah satu jenayah privasi. Dalam era di mana anda dapat menggunakan sesuatu servis secara percuma, data peribadi anda akan dijadikan produk.

Facebook menggunakan data-data tersebut untuk membolehkan algoritma ciptaan mereka memadankan iklan-iklan sesuai kepada kita. Contohnya jika kita banyak membuat carian tentang kereta di Internet, Facebook akan mula memaparkan banyak iklan kereta setiap kali anda membuka Facebook.

Bagaimana mereka melakukannya? Dengan mengkategorikan anda. Sebagai contoh, jika anda tinggal di Shah Alam dan suka kucing, anda akan masuk ke satu kategori. Yang duduk di Shah Alam, tapi suka anjing akan masuk kategori lain. Anda boleh tengok anda di kategori mana melalui pautan ini.

Jika anda berpendapat semua ini tidak mengancam apa-apa aspek kehidupan anda, fikirkan semula baik-baik.

Data-data yang dikutip dalam ciri Off-Facebook Activity merupakan data-data yang anda tak bagi secara sukarela pun kepada Facebook.

Dalam era di mana majoriti informasi anda dibentuk berdasarkan apa yang anda baca di Internet, adalah tidak mustahil bagi Facebook untuk mempengaruhi keputusan anda melalui data intipan yang mereka kutip.

Ini termasuklah keputusan calon mana satu yang anda akan undi dalam pilihanraya umum, bangsa mana yang perlu anda benci dan sebagainya. Facebook bertanggungjawab membolehkan Russia mengatur pilihanraya Amerika Syarikat dan mengapi-apikan lagi kebencian Myanmar terhadap etnik minoriti Rohingya.

Apa yang boleh anda buat

Untuk menghalang Facebook daripada skodeng anda walaupun ketika anda tidak menggunakan aplikasi mereka, anda kini ada pilihan menerusi ciri Off-Facebook Activity.

Apa yang perlu anda lakukan adalah:

  1. Pergi ke Settings
  2. Klik ‘Your Facebook Information’
  3. Klik ‘Off-Facebook Activity’. Selepas itu anda akan nampak senarai aktiviti intipan Facebook terhadap anda di ‘Your ‘Off-Facebook Activity’
  4. Klik ‘Clear History’
  5. Klik ‘Manage Future Activity’ dan klik ‘Turn It Off’

via GIPHY

Ubah settings seperti di atas tidak membuatkan Facebook berhenti skodeng anda. Ia cuma menghalang Facebook untuk menjadikan anda sasaran iklan mereka.

Baca juga artikel kami yang lain: