Malaysia dijangka akan mempercepatkan pelaksanaan teknologi 5G setahun lebih awal iaitu pada suku keempat tahun 2021 berbanding dengan tahun 2022 yang diumumkan sebelum ini. Pelaksanaan 5G akan dilaksanakan di lokaliti terpilih manakala pelaksanaannya di kawasan berkepadatan tinggi menjelang tahun 2023.

Menurut kajian oleh Institut Penyelidikan Ekonomi Malaysia, di peringkat domestik, pelaksanaan teknologi 5G dijangka mampu menyumbang sehingga lebih RM12.7 bilion kepada ekonomi negara antara 2021 dan 2025 dan menjana lebih 39,000 pekerjaan baharu.

Berikut merupakan kronologi perjalanan teknologi 5G di Malaysia dan status terkini pelaksanaannya.

Dirangka seawal November 2018

Kredit gambar: https://www.penerangan.gov.my/japenv2/index.php/2020/01/18/gobind-pantau-projek-demonstrasi-5g-di-langkawi/

Perjalanan teknologi 5G dimulakan dengan penubuhan Pasukan Khas 5G Nasional pada November 2018. Pasukan khas tersebut terdiri daripada 114 ahli membabitkan penyedia perkhidmatan, akademia, kementerian dan agensi. Menurut Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia (SKMM), petugas khas itu diberikan tugas merancang strategi pelaksanaan 5G untuk negara.

SKMM telah mengenal pasti bahawa pelaksanaan 5G nasional akan dibangunkan pada jalur (spektrum frekuensi) 700MHz, 3.5GHz dan 26/28GHz, dengan penawaran awal menggunakan dua jalur pertama, yang akan diurus oleh konsortium pelbagai pemegang lesen. Pada ketika itu, SKMM menjangkakan pengkomersialan 5G di Malaysia akan bermula pada suku ketiga tahun 2020 apabila selesainya proses penguntukan spektrum.

Projek Demonstrasi 5G (5GDP)

Kredit gambar: https://www.mstar.com.my/lokal/semasa/2020/01/20/5g

Seterusnya, Projek Demonstrasi 5G atau 5GDP dilaksanakan oleh SKMM. Projek ini bertindak sebagai pemangkin dalam memupuk perkembangan ekosistem 5G secara holistik dan inklusif. Demonstrasi ini dijangka berupaya untuk memberikan ransangan terhadap permintaan serta penerapan awal 5G di negara ini.

Pada penghujung tahun 2020, Malaysia berjaya mendemonstrasikan 71 kes kegunaan dengan jumlah pelaburan bernilai RM131 juta di 50 tapak stesen pangkalan 5G yang terdiri daripada sembilan sektor industri iaitu bandar pintar, hiburan/media, minyak dan gas, pelancongan, pembuatan dan pemprosesan, pendidikan, pengangkutan pintar, penjagaan kesihatan digital, pertanian.

Demonstrasi kes kegunaan ini telah dilaksanakan di tujuh buah negeri iaitu Kedah, Pahang, Pulau Pinang, Perak, Selangor, Terengganu dan Wilayah Persekutuan Kuala Lumpur.

Penubuhan Digital Nasional Berhad (DNB)

Kredit gambar: https://bm.soyacincau.com/2021/03/02/digital-nasional-berhad-dnb-spv-5g-malaysia/

Pada bulan Mac tahun ini, sebuah Syarikat Bertujuan Khas telah ditubuhkan oleh Kementerian Kewangan. Dinamakan sebagai Digital Nasional Berhad (DNB), Syarikat Bertujuan Khas Kerajaan Malaysia ini diumumkan untuk melaksanakan infrastruktur dan rangkaian teknologi 5G di seluruh negara dan dilesenkan di bawah Akta Komunikasi dan Multimedia 1998 (AKM 1998).

SKMM mengawal selia dan memantau DNB melalui instrumen kawal selia yang relevan di bawah AKM 1998. Antara tujuan kawal selia ini adalah bagi memastikan penggunaan spektrum adalah secara optimum supaya syarikat telekomunikasi dapat memperolehi capaian terbuka, saksama dan adil kepada perkhidmatan rangkaian 5G secara borong. Ini bagi memastikan penyediaan perkhidmatan runcit kelak dapat berjalan dengan lancar.

DNB juga berperanan sebagai pihak borong berkecuali (neutral), yang membolehkan syarikat telekomunikasi untuk memberi tumpuan kepada teknologi terkini dalam membangunkan perkhidmatan runcit yang inovatif sebagai tawaran perkhidmatan kepada pengguna, perusahaan dan Kerajaan. Penawaran perkhidmatan secara borong oleh DNB akan dipantau secara rapi oleh SKMM berpandukan kepada peruntukan di bawah AKM 1998. Kepantasan dan penjimatan kos daripada pelaksanaan 5G boleh dipindahkan untuk memanfaatkan pengguna.

Selain itu juga, DNB turut berperanan bagi membuka tender untuk pembangunan infrastruktur teknologi 5G yang dianggarkan bernilai RM15 bilion.

Tender 5G yang dimenangi oleh Ericsson

Kredit gambar: https://asia.nikkei.com/Spotlight/5G-networks/Malaysia-picks-Ericsson-over-Huawei-to-build-5G-network

Selepas pelaksanaan bidaan tender yang bermula Mac lalu, Digital Nasional Bhd (DNB) telah melantik firma telekomunikasi Ericsson sebagai rakan strategik dalam mempercepatkan pembangunan rangkaian serta ekosistem perkhidmatan rangkaian teknologi generasi kelima (5G) negara. Ericsson memenangi bidaan tersebut selepas mengemukakan harga yang terendah antara empat syarikat lain yang menyertainya.

Reka bentuk dan pembangunan rangkaian 5G negara akan dilaksanakan oleh Ericsson dengan kos bernilai RM11 bilion, kira-kira RM700 juta lebih rendah berbanding jumlah kos pemilikan bidaan terdekat. Daripada jumlah tersebut, peralatan rangkaian, perkhidmatan penggunaan dan penyelenggaraan serta kos pengurusan rangkaian yang berterusan bernilai RM4 bilion, sementara baki kira-kira RM7 bilion akan menampung kos infrastruktur rangkaian dari pihak lain yang terdiri daripada pajakan menara dan gentian dalam jangka masa 10 tahun.

Dengan pemilihan Ericsson, Malaysia kini berada dalam landasan untuk melancarkan rangkaian 5G di kawasan dalam Kuala Lumpur, Putrajaya dan Cyberjaya menjelang Disember 2021. Selain itu juga, DNB mempunyai objektif seterusnya untuk mencapai liputan 80 peratus penduduk di negara ini menjelang 2024.