NexDock barangkali bakal mengubah cara kita bekerja menggunakan telefon pintar (smartphone). Ini kerana dengan adanya NexDock, anda boleh mengubah smartphone anda menjadi laptop!

Smartphone ketika ini sudah dilengkapi dengan cip pemprosesan yang berkuasa tinggi (terutamanya flagship smartphone) sehingga membolehkan anda menulis artikel, menangkap serta mengedit gambar dan video.

Malah boleh dikatakan garisan yang memisahkan antara smartphone dengan laptop sudah menjadi semakin kabur seiring dengan perkembangan teknologi smartphone.

Samsung dan Huawei menyedari perkembangan ini. Itulah sebabnya mereka melancarkan versi desktop perisian mobile mereka pada tahun 2017.

Sistem DeX di Samsung dan EMUI Desktop di Huawei membolehkan smartphone Samsung dan Huawei ditukar ke versi desktop dengan hanya menyambungkan plug smartphone ke monitor atau TV melalui sambungan USB-C atau HDMI.

Tapi untuk buat kerja seperti laptop konvensional, monitor tersebut kenalah disertai dengan papan kekunci dan tetikus/trackpad sekali.

Sebab itulah NexDock dicipta.

Apa ada pada NexDock?

NexDock secara asasnya merupakan kerangka laptop yang mempunyai rupa seperti laptop. Tapi berbeza dengan laptop biasa, NexDock tidak mempunyai cip pemprosesan, memori dan pemacu keras.

Tetapi cukup dengan hanya dilengkapi dengan skrin, papan kekunci dan trackpad, NexDock boleh menukar smartphone Samsung atau Huawei anda kepada laptop. Semuanya tak mustahil kerana kewujudan sistem DeX di Samsung dan EMUI Desktop di Huawei.

Apabila bertukar menjadi laptop, segala perisian di smartphone seperti Facebook, Twitter dan Instagram akan beryukar menjadi mod desktop. Begitu juga dengan MS Offices dan kelengkapan Google Apps seperti Google Docs.

Dari segi perkakasan komputer, NexDock jelas mengambil inspirasi daripada MacBook Air. Skrinnya berkelebaran 13.3 inci dengan resolusi 1,920 X 1,080. Papan kekuncinya mempunyai lampu latar dan jauh lebih besar dan lebih selesa daripada MacBook terbaru.

NexDock turut menyediakan banyak lubang port seperti USB-A 3.0, HDMI, tiga slot USB-C, fonkepala dan Micro-SD.

Dua aspek negatif dalam NexDock yang banyak mendapat aduan pengguna adalah kemasan bezel di skrin dan trackpad yang kurang selesa untuk dipakai. Untuk mengatasi masalah ini, pengguna biasanya akan menggunakan tetikus sendiri.

Baterinya pula berkapasiti 6,800 mAh dan boleh tahan selama tujuh jam. Tapi ianya juga berganting kepada bateri smartphone. Smartphone Huawei yang dah dicas 100% boleh tahan selama tujuh jam apabila berfungsi sebagai laptop. Begitu juga dengan Samsung S20 Ultra.

Kelebihan NexDock

Mungkin akan ada orang yang tanya: kenapa nak beli NexDock kalau boleh beli laptop terus? Ini sebab-sebabnya.

Dijual pada harga USD250 (RM1,084), NexDoc mungkin nampak mahal bagi sebuah kerangka laptop yang tiada sebarang cip pemprosesan. Ada banyak laptop bajet berharga bawah RM1,000 yang dijual di pasaran ketika ini.

Tetapi kelebihan NexDock adalah apabila disambung dengan Huawei P40 Pro (berharga RM3,899) atau Samsung Galaxy S20+ (RM3,800), cip pemprosesan dalam kedua-dua smartphone ini sahaja sudah jauh lebih berkuasa daripada mana-mana laptop yang berharga bawah RM4,400.

Anda masih boleh mengedit video 4K dalam aplikasi PowerDirector tanpa isu, sesuatu yang mustahil dalam laptop bajet.

Kalau anda merasakan kos NexDock dan Huawei P40 Pro/Samsung Galaxy S20+ sudah melebihi kos membeli laptop, fikirkan kelebihan jangka masa panjangnya pula.

Dalam masa 3 tahun akan datang, laptop baru yang anda beli akan jadi ketinggalan dari segi kelajuan cip pemprosesannya. Tapi disebabkan NexDock hanyalah kerangka laptop, ia bermakna anda boleh naik taraf cip pemprosesan laptop dengan hanya membeli smartphone terbaru.

Jadi pada tahun 2023 nanti, anda boleh menggunakan laptop berkuasakan cip pemprosesan tahun 2023 dengan NexDock. Tetapi jika anda membeli laptop baru sekarang, anda akan kekal menggunakan cip pemprosesan tahun 2020 pada tiga tahun akan datang.

Kekurangan NexDock

Disebalik kelebihannya, NexDock masih ada kekurangannya dalam jangka masa panjang. Setakat ini NexDock hanya boleh digunapakai oleh smartphone Samsung dan Huawei sahaja.

Jika anda menggunakan iPhone atau Redmi, anda tidak boleh menggunakan NexDock – melainkan jika Apple atau Xiaomi membangunkan sistem mobile-to-desktop mereka sendiri pada masa akan datang.

Jadi jika anda mahu membeli NexDock, anda perlu setia dengan samrtphone Samsung atau Huawei.

Lihat cara NexDock digunakan dalam video di bawah:

Baca juga artikel kami lain yang berkaitan:

Sumber: