Mark Adam, Jed Madela, Jona Viray, Julie Anne San Jose dan KZ Tandingan antara nama-nama penyanyi bertaraf antarabangsa yang berasal dari FIlipina. Tidak kurang juga penyanyi antarabangsa dengan darah campuran Filipina seperti Bruno Mars dan H.E.R. Sekiranya anda perhatikan, penyanyi yang melagukan melodi di hotel dan majlis keraian biasanya juga berasal dari Filipina.

Dengan suara yang mampu menyanyikan lagu berintonasi tinggi ataupun rendah, mereka dilihat seperti sudah diajar untuk menyanyi. Kebiasaannya, penyanyi dari Filipina ini juga pandai untuk berinteraksi bersama penonton di dalam bahasa Inggeris.

Keistimewaan ini bagaimanapun bukanlah sesuatu yang ajaib. Tidak ada kajian yang membuktikan penduduk FIlipina dilahirkan dengan kotak suara berbeza dengan penduduk lain di dunia.

Namun begitu, apa yang pasti menyanyi merupakan sebahagian daripada budaya masyarakat di sana. Mengapa? Kita kupas persoalan tersebut di dalam eceran ini.

Mereka dilatih semenjak kecil

Kredit gambar: Smooth Radio

Sejak dari kecil lagi, masyarakat Filipina sudah mengasuh anak-anak mereka untuk menyanyi. Tadika, gereja dan institusi kekeluargaan sangat menyokong budaya ini.

Selain itu juga, kanak-kanak ini terdedah dengan program pencarian bakat nyanyian di kaca televisyen. Pelbagai rancangan realiti televisyen yang berkait dengan nyanyian ada ditayangkan.

Antara rancangan realiti nyanyian paling popular ialah Tawag ng Tanghalan. Ia mula ditayangkan seawal tahun 1954 dan kekal popular sehingga hari ini. Selain itu juga, program realiti dari Barat seperti The Voice, X-Factor dan American Idol juga mempunyai versi Filipina yang tersendiri.

Kesempitan hidup dan kekurangan peluang pekerjaan menjadikan mereka menggunakan peluang menyanyi sebagai jalan keluar. Menjadi penyanyi yang terkenal, lantas sebagai selebriti dianggap mampu mengubah nasib keluarga. Mana tidaknya, kadar penggangguran di Filipina juga setinggi 8.9 peratus.

Secara tidak langsung, kanak-kanak membesar di dalam suasana yang mahu diri mereka pandai bernyanyi.

Karaoke sebagai budaya masyarakat

Kredit gambar: Quora

Selain daripada pembudayaan nyanyian melalui kaca televisyen, karaoke sendiri merupakan budaya masyarakat. Biarpun masyarakat Asia Tenggara dan budaya karaoke sangat sinonim, Filipina membawanya ke tahap yang lebih tinggi.

Ini dapat dilihat daripada keberadaan karaoke di dalam majlis keramaian dan perhimpunan keluarga. Namun di Filipina, karaoke adalah segala-galanya.

Bayangkan, set karaoke merupakan antara peralatan elektrik yang wajib berada di dalam rumah golongan pertengahan. Segala perjumpaan bersama rakan, keluarga dan teman sekerja diisi dengan aktiviti karaoke.

Tidak terhenti disitu, mereka turut memilih lagu-lagu yang menggunakan nada tinggi. Nyanyian lagu dengan vokal mantap seperti Bryan Adams, Michael Bolton dan Whitney Houston menjadi pilihan.

Kehadiran Presiden Rodrigo Duterte ke Malaysia dahulu juga dipenuhi dengan jemputan nyanyian oleh Presiden itu sendiri. Dan ia menjadikan masyarakat Filipina terbiasa dengan budaya nyanyian sehingga hari ini.