Tenaga bersih bermaksud tenaga yang berasal dari sumber yang boleh diperbaharui, tidak menjejaskan lapisan ozon di atmosfera serta sumber tenaga yang dijimatkan oleh pelbagai langkah kecekapan tenaga. Solar, angin dan biomas merupakan contoh yang mudah didapati di negara kita.

Pasaran tenaga bersih adalah salah satu sektor yang paling menarik di pasaran kewangan global. Pasaran global untuk tenaga boleh diperbaharui dijangka meningkat sehingga $1.5 trilion pada tahun 2025. Seperti biasa, perubahan kepimpinan di Amerika Syarikat menjadi salah satu punca yang telah mendorong pertumbuhan pesat pasaran tenaga boleh diperbaharui dan ini telah menjadikannya pilihan yang menarik bagi para pelabur di peringkat antarabangsa.

Laporan Bloomberg bertajuk New Energy Outlook yang diterbitkan pada Julai 2020 juga menganggarkan tenaga solar dan angin akan menjana 16 peratus daripada kapasiti penggunaan tenaga di dunia menjelang tahun 2030, berbanding 3 peratus pada waktu ini.

Satu lagi sumber tenaga bersih popular adalah biomas kerana kos penghasilan yang rendah dan sumber yang lebih mudah didapati. Ini kisah sebuah negara di benua Afrika, Ivory Coast yang hampir 30 peratus daripada exportnya bergantung kepada komoditi koko. Hampas komoditi tersebut akhirnya berjaya dimanfaatkan sebagai sumber tenaga biomas.

Negara pembekal 40 peratus koko dunia

Kredit gambar: https://fortune.com/longform/big-chocolate-child-labor/

Baru-baru ini, sekiranya anda ada menikmati air coklat atau makan produk berasaskan coklat, berkemungkinan besar koko tersebut berasal dari Ivory Coast. Pada tahun 2019, menurut laporan Observatory of Economic Complexity (OEC), Ivory Coast merupakan pengeksport terbesar dunia bagi biji koko dengan nilai RM15.8 bilion ($3.84 bilion), diikuti dengan pes koko sebanyak RM3.27 bilion ($795 juta) dan kulit koko sebanyak RM473 juta ($115 juta). Jumlah ini menjadikan negara tersebut sebagai pembekal 40 peratus daripada biji koko dunia.

Terdapat lebih 6 juta rakyat Ivory Coast bergantung kepada pekerjaan di dalam komodi koko ini. Selama berdekad, koko menjadi sumber mata wang utama bagi penduduk dan kini, koko akan menjadi sumber tenaga bersih yang boleh mengurangkan import Petroleum mereka.

N’Zi Kanga Rémi, seorang Gabenor Adzopé di Ivory Coast pernah menerangkan tentang kepentingan koko sebagai seorang rakyat dengan berkata:

“Adalah tidak masuk akal bertanyakan seorang rakyat Ivory Coast, apa maksud koko kepadanya. Koko adalah segala-galanya. Koko merupakan sumber pendapatan pertama, pelajaran saya ditanggung oleh koko, rumah kami dibina dengan hasil koko, begitu juga dengan infrastruktur seperti jalan, sekolah dan hospital. Kerajaan kami didanai oleh koko dan kesemua polisi kami adalah bagi menjamin kelestarian koko.”

Biarpun begitu, pendapatan seharian penduduk di sini sebenarnya hanya mampu untuk membeli sepaket coklat KitKat.

Hampas koko berupaya menjadi punca tenaga biomas

Kredit gambar: https://www.voanews.com/africa/ivory-coast-eyes-biomass-power-generation-cocoa-waste

Apabila hampir keseluruhan ekonomi dijana oleh komoditi seperti koko, masalah seterusnya yang timbul adalah pengurusan sisa. Antara sisa hampas terbesar dari sebiji buah koko adalah kulitnya yang keras dan juga kulit biji koko. Kajian saintis di North Carolina State University menunjukkan bahawa, untuk setiap satu tan biji koko yang dihasilkan untuk eksport, ia akan meninggalkan 10 tan sisa buangan dalam bentuk kulit buah dan kulit biji koko.

Sebagai pengeksport terbesar biji koko di dunia, Ivory Coast mempunyai eksport koko berjumlah hampir 2 juta tan pada tahun 2019. Sekiranya diamati semula dapatan kajian saintis tadi, maka negara tersebut perlu menguruskan sebanyak 20 juta tan sisa buangan yang akan meningkat saban tahan.

Maka tidaklah menghairankan apabila keperluan yang mendesak untuk menguruskan sisa buangan ini supaya boleh digunakan kembali. Sebelum dikaji untuk digunakan sebagai punca tenaga biomas, hanya 1 peratus daripada sisa ini digunakan oleh penduduk Ivory Coast dan Ghana (negara kedua pengeksport terbesar koko) untuk membuat sabun.

Kulit buah koko sebenarnya kaya dengan mineral lignocellulosic biomass. Contohnya ia kaya dengan potassium, fibers (terutamanya lignin, cellulose, hemicellulose, dan pectin), and antioxidants seperti phenolic acids. Kesemua bahan ini mampu menjana tenaga bersih biomas sekiranya digunakan semula. Kendatipun, tanpa pengurusan sisa yang lestari, ia hanyalah hampas yang akan dilupuskan.

Bagaimanakah hampas koko boleh menjana tenaga? Cara yang paling ringkas ialah untuk menghasilkan tenaga adalah dengan proses pembakaran. Pada hari ini, proses pembakaran dijalankan dengan teknik yang moden di dalam kilang agar tidak menghasilkan pencemaran udara yang memudaratkan. Tenaga haba yang boleh diperolehi dalam proses pembakaran ini boleh digunakan untuk pelbagai tujuan seperti pemanasan bahan dan ruang dan juga untuk menghasilkn wap panas bagi penjanaan elektrik.

Kilang biomas yang mampu menerangi 1.7 juta orang

Kredit gambar: https://www.afrik21.africa/en/ivory-coast-ustda-will-build-a-biomass-power-plant-in-divo/

Pakar telah memberikan angka yang menunjukkan bahawa bahan bakar fosil akan kekal mendapat permintaan selama 20-30 tahun lagi. Namun, permintaan untuk bahan bakar fosil akan terus mengalami penurunan secara beransur-ansur ketika permintaan kepada tenaga bersih meningkat.

Ivory Coast melihat kepada keperluan pengurusan sisa koko yang lebih mampan buat negara mereka, lantas mengurangkan pergantungan import mereka kepada petroleum bagi menjana elektrik.  Selepas beberapa projek perintis yang membawa kejayaan, Ivory Coast akhirnya membuka sebuah kilang bagi memproses hampas koko menjadi tenaga di Divo, sebuah bandar yang paling banyak penghasilan kokonya. Di kilang tersebut, hampas dan sisa koko ini akan dibakar di dalam turbin yang kemudiannya akan mengasilkan tenaga elektrik, sama seperti yang dijana oleh bahan bakar lain.

Kilang pertama di Divo tersebut dijangka akan menghasilkan tenaga elektrik yang mampu memberikan manfaat kepada 1.7 juta orang penduduk. Dengan sokongan dana oleh US Trade and Development Agency, kilang tersebut dijangka siap sepenuhnya pada tahun 2023 dan mampu menghasilkan 46 hingga 70 megawatts (MW) tenaga elektrik setahun. Ia juga akan mengurangkan perlepasan gas rumah hijau sebanyak 4.5 tan berbanding dengan menggunakan sumber petroleum.

Mengurangkan pergantungan dan import petroleum

Kredit gambar: https://www.ivoryccc.com/

Pada tahun 2019, Ivory Coast mengimport RM6.05 bilion ($1.47 bilion) sumber petroleum dan jumlah tersebut merupakan import terbesar mereka. Hampir 70 peratus daripada import tersebut digunakan sebagai sumber tenaga elektrik. Penggunaan tenaga biomas secara besar-besaran akan membantu negara tersebut mengurangkan pergantungan mereka terhadap import petroleum secara perlahan-lahan.

Ini dapat dilihat dengan sasaran kerajaan untuk menggunakan 42 peratus tenaga dari sumber yang boleh diperbaharui menjelang tahun 2030. Di dalam sebuah negara yang sangat bergantung kepada koko, inovasi seperti ini amatlah bijak dan menguntungkan semua pihak.

Kilang tenaga biomas di Divo tersebut dibina dengan nilai RM1 bilion ($244 juta) dan Ivory Coast dijangka akan membina sembilan lagi kilang dengan kapasiti dan keupayaan sama. Kesemuanya akan dibina di kawasan yang padat dengan tanaman dan penghasilan koko agar sumber bahan mentah mudah didapati dan mengurangkan kos pengangkutan dan logistik.

Selain daripada penghasilan tenaga bersih, seramai 600,000 peladang koko juga akan menerima hasil pendapatan tambahan apabila sisa buangan koko tersebut mempunyai nilai untuk dijual semula kelak.

Sumber:
Featured Image, Voa News, The Guardian, Afrik21, Statista, Observatory of Economic Complexity (OEC), Bloomberg NEF