AirAsia Group Berhad sedang berkira-kira untuk memohon pinjaman daripada kerajaan Malaysia untuk membantu meringankan beban kewangan mereka yang teruk terjejas akibat ketidaktentuan ekonomi sekarang.

Ketua Pegawai Eksekutif AirAsia, Tan Sri Tony Fernandes berkata syarikat penerbangan kos rendah itu masih lagi mempunyai duit untuk bertahan sehingga hujung 2020. Bercakap dalam temuramah bersama Bloomberg Markets, beliau menjelaskan:

“Bila keadaan dah makin pulih dan jualan kembali aktif, kami okey. Duit yang kita ada boleh buat kita bertahan sepanjang tahun ini.

“Kalau dapat pinjaman pun bagus juga. Ketika ini kami sedang berbincang dengan kerajaan. Kita bukannya nak kerajaan jamin keluar kita. Kita cuma nak buat pinjaman. Saya rasa pencairan [aset] boleh dilakukan di Malaysia dan Thailand.”

Ketidaktentuan ekonomi yang disebabkan oleh wabak COVID-19 ketika ini membuatkan banyak syarikat penerbangan sedang bergelut untuk terus beroperasi.

Fernandes bagaimanapun kekal optimistik sambil bersyukur kerana AirAsia telah menghabiskan banyak masa, wang dan tenaga menstruktur semula bisnes mereka ke arah digital.

Beliau juga berkata struktur kos syarikatnya cukup lasak untuk menghadapi kelembapan ekonomi ketika ini dan melihat peluang untuk terus menyusun struktur syarikatnya lagi.

Wabak COVID-19 krisis paling teruk pernah dilalui

Beliau turut berkata 2020 adalah tahun paling mencabar dalam hidup beliau setakat ini.

“Wabak COVID-19 adalah krisi paling buruk pernah saya lalui.

“Kami sedang fikirkan banyak idea untuk memajukan syarikat. Perjalanan kami susah tapi kami tetap optimistik. Kalau ada duit [pinjaman], masalah akan jadi ringan sikit.

“Ketika ini kami ada duit tapi kami nak dapatkan pinjaman juga.

“Perkara paling penting sekarang adalah nak bagi pesawat-pesawat kami terbang semula. Pertumbuhan pendapatan syarikat akan datang kemudian.”

Fernandes juga memberitahu AirAsia sudah memberitahu kepada kerajaan tentang hasrat mereka (untuk mendapatkan pinjaman).

“Sektor pelancongan menyumbang 15.8% Keluaran Dalam Kasar Negara (KDNK) dan AirAsia menyumbang 1.8% daripadanya. Saya pasti cadangan kami akan didengari kerajaan.”

Cabang perniagaan AirAsia Group lain seperti e-wallet, makanan & minuman serta kargo pula berjalan dengan baik. Dan menurut Fernandes, yang bagusnya tiga cabang ini tidak memakan kos terlalu banyak.

Beliau mengaku AirAsia Group masih jauh ketinggalan di belakang pesaing lain dalam tiga cabang tersebut. Tetapi beliau berharap situasi sukar ketika ini mampu memberi peluang kepada tiga bisnes tersebut untuk merapatkan jurang.

AirAsia dan Malaysia Airlines bakal gabung?

Ketika ditanya mengenai cakap-cakap yang Malaysia Airlines akan digabungkan dengan AirAsia, Fernandes memberitahu beliau tidak tahu-menahu tentang berita angin tersebut.

“Ketika ini kami terlalu fokus menyusun syarikat kami. Lagipun kami tak pernah bersetuju dengan langkah penggabungan dan pembelian syarikat sebagai satu jalan penyelesaian.

“Bagaimanapun kami tak menutup langsung peluang [penggabungan]. Cuma kami tak bincang lagi. Saya rasa adalah tak bijak jika saya dan lembaga pengarah kami terus tutup pintu kepada peluang ini.”

Baca juga artikel kami yang lain mengenai sektor pelancongan: