Ada kemungkinan tiada lagi kelibat The Undertaker dalam gelanggang WWE selepas penggusti profesional itu mengumumkan keputusan tersebut dalam episod terakhir dokumentari The Last Ride.

Ini bermakna perlawanan terakhir The Undertaker dalam WWE adalah semasa beliau menewaskan AJ Styles dalam perlawanan pertama The Boneyard Match.

The Undertaker atau nama sebenarnya Mark Calaway telah menjadi personaliti tetap untuk empayar World Wrestling Entertainment (WWE) milik Vince McMahon selama hampir 30 tahun. Kemunculan pertamanya adalah semasa penyiaran Survivor Series pada November 1990.

Persona ‘Deadman’ The Undertaker sentiasa dipuji peminat WWE sebagai punca mereka meminati WWE sejak 1990. The Undertaker, bagaimanapun telah banyak menjadi watak sampingan dalam WWE – hanya masuk dalam acara besar seperti perlawanannya menentang John Cena serta menentang Goldberg semasa Super ShowDown Jun lepas.

Pada bulan lepas, WWE menyiarkan siri dokumentari The Last Ride yang mengandungi lima episod dan menceritakan tentang hidup dan karier The Undertaker bermula dari WrestleMania 2017 hinggalah WrestleMania 2020.

Dokumentari ini turut menceritakan secara mendalam kesukaran The Undertaker sebelum membuat keputusan untu bersara kerana keobsesannya mencari detik persaraan yang sempurna.

Bagaimanapun The Undertaker akhirnya mengumumkan juga persaraannya dalam episod terakhir siri dokumentari The Last Ride. Kemudian di akaun Twitter beliau, The Undertaker turut memuat naik video mengumumkan persaraannya dengan kapsyen: “Anda tak tahu betapa jauhnya perjalanan hidup sehinggalah anda sampai ke penghujungnya.”

Kapsyen video tersebut nyata sepadan dengan kata-kata The Undertaker dalam episod terakhir The Last Ride yang berbunyi: “Kali ini cowboy ini akan betul-betul pergi.”

https://twitter.com/undertaker/status/1274706319438680064

The Last Ride turut menceritakan faktor-faktor yang menyebabkan The Undertaker serius memikirkan persaraan seperti keadaan badannya yang semakin tua, kecederaan dalam gelanggang dan keengganan nalurinya untuk bersara.

Bagaimanapun matlamatnya untuk mencari ‘detik persaraan sempurna’ tercapai juga selepas ramai peminat WWE memuji persembahannya ketika menewaskan AJ Styles dalam perlawanan The Boneyard Match di WrestleMania.

Peminat WWE bagaimanapun tidak mengambil serius pengumuman persaraan The Undertaker itu.

Menurut mereka sudah banyak legenda WWE sebelum ini yang sudah mengumumkan persaraan, tetapi kembali beraksi semula dalam perlawanan besar seperti Mick Foley, Terry Funk dan Ricky Steamboat.

Hanya masa sahaja yang dapat menentukan apakah benar The Undertaker akan membuat kemunculan semula. Dalam The Last Ride, The Undertaker ada menyatakan kesediaannya untuk berbuat apa sahaja demi WWE dan Vince McMahon.

Harapnya The Undertaker dalam mengikuti jejak bintang Attitude Era seperti Stone Cold dan Shawn Michaels yang mengakhiri karier mereka dengan satu lagi perlawanan berkualiti di WrestleMania.

Biodata The Undertaker

Nama sebenar: Mark William Calaway
Tarikh lahir: 24 Mac 1965 (umur 55)
Asal: Austin, Texas
Nama gelaran: Cain the Undertaker, Mark Callous, Mean Mark Callous, Mean Mark, Dice Morgan, The Master of Pain, The Punisher, Texas Red, The Undertaker
Tinggi: 208cm
Berat: 140kg

The Undertaker terkenal dengan gerakan berikut di WWE:

1. The Chokeslam

2. The Tombstone Piledriver

https://www.youtube.com/watch?v=e4TVewJrACA

3. The Last Ride

4. Old School

Sumber: