Pada awal bulan Disember lalu, seramai 25,423,192 individu atau 77.8 peratus daripada jumlah populasi di negara ini sudah lengkap menerima vaksin. Lembah Klang merekodkan peratusan tertinggi dengan 93.5 peratus lengkap divaksin.
Namun, daripada jumlah tersebut, hanya seramai 2,728,294 individu telah menerima suntikan dos penggalak. Sama seperti vaksin dos pertama dan kedua, pengambilan dos penggalak ini juga adalah secara sukarela dan tidak diwajibkan.
Pelbagai kempen giat dilaksanakan oleh Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) bagi memastikan penerima dos lengkap vaksin turut menerima suntikan dos penggalak. Namun begitu, ia masih membangkitkan persoalan pokok terhadap keperluan suntikan tersebut.
Ketika varian Delta mula-mula dijumpai, syarikat Pfizer sudah mula melihat kepada keperluan dos tambahan ini. Ini kerana, terdapat risiko jangkitan semula yang lebih tinggi selepas enam bulan mendapatkan suntikan.
Menurut Ketua Pegawai Saintifik Pfizer, Mikael Dolsten selain jangkitan semula, penyebaran varian baharu juga menjadi faktor perlunya dos booster. Vaksin Pfizer sangat aktif terhadap varian Delta. Namun, selepas enam bulan ada kemungkinan wujud risiko jangkitan semula apabila antibodi semakin berkurang.
Artikel ini cuba merungkai kepentingan dan keperluan kepada pengambilan dos penggalak.
Kajian di United Kingdom
Varian Omicron, mutasi terbaharu Covid-19 dilihat mudah menyerang individu yang sudahpun menerima vaksin lengkap. Ini kerana, vaksin yang dicipta dan digunapakai pada ketika ini telah dihasilkan hampir dua tahun dahulu.
Mutasi Covid-19 pula membiak dan berkembang dengan pantas, bermula dari varian Aplha pada 19 Disember 2020. Kini, varian Omicron yang mula-mula dijumpai di Afrika pada 26 November 2021. Sudah tentu vaksin yang dicipta seawal tahun 2020 tidak mampu mengurangkan risiko mutasi.
Namun begitu, ia masih selamat dan mampu untuk mengurangkan risiko kemasukan ke hospital.
Sekolah vaksin
Sekiranya dibandingkan wabak ini dengan sistem pendidikan, vaksin yang mula ditemui pada tahun 2020 kini hampir memasuki tahun kedua. Vaksin pertama diibaratkan sebagai sekolah rendah yang akan menambahkan pengetahuan sistem imun tubuh badan manusia terhadap Covid-19.
Bagi melawan mutasi terbaharu, kita akan naik satu tahap lagi ke pendidikan menengah. Maka, pengambilan dos kedua dianggap meletakkan kita di tahap ini. Ini kerana sistem imun tubuh badan juga memerlukan penambahbaikan dan sering diingatkan tentang mutasi baharu. Itulah pentingnya dos penggalak, sama seperti pendidikan kolej dan universiti bagi kita.
Dengan cara ini, sistem imun badan kita akan mempunyai lebih maklumat yang diperlukan. Ini bagi menyiapkan badan untuk melawan jangkitan wabak tersebut. Pandangan ini dilontarkan oleh Prof Jonathan Ball, seorang pakar virologi dari University of Nottingham.
Terdapat pelbagai cakap-cakap tentang mudarat Omicron. Namun, sistem imun yang sudah terlatih kelak dengan dos penggalak akan menjadikan varian sukar untuk menembusi tubuh badan. Ini kerana, antibodi di dalam badan sudah mampu untuk melawan varian tersebut.
Varian Omicron lawan dua dos vaksin
Varian Omicron merupakan mutasi yang berada di luar jangkaan. Data dari makmal kajian menunjukkan antibodi badan dengan dua dos suntiukan masih tidak mencukupi bagi melawan Omicron.
Menurut Prof Danny Altmann, seorang pakar imunologi dari Imperial College London, ini menyebabkan tubuh badan kita seperti tidak mempunyai apa-apa pertahanan. Ia ibarat menunggu sahaja untuk dijangkiti.
Maka, vaksin tersebut perlu kembali ke sistem pendidikan.
Setiap dos suntikan baharu ibarat mencetuskan evolusi buat antibodi tubuh badan. Proses yang digelar sebagai affinity maturation ini mampu membantu antibodi untuk terus dipersiapkan bagi menghadapi varian baharu.