Jepun akan membuang lebih daripada satu juta tan air radioaktif dari Loji Nuklear Dai-ichi Fukushima ke dalam laut menurut laporan The Guardian. Proses yang bakal mengambil masa selama dua tahun itu menerima tentangan hebat daripada negara-negara serantau dan juga nelayan tempatan.

Terdapat kira-kira 1.23 juta tan air buangan radioaktif yang disimpan dalam tangki di loji itu, menurut Tokyo Electric Power Company (TEPCO) iaitu syarikat pemilik dan pengendali loji tenaga itu. Selepas dilanda tusnami kira-kira sedekad yang lalu, air buangan tersebut masih tersimpan di dalam reaktor di Loji Nuklear Dai-ichi Fukushima. Ia berfungsi sebagai penyejuk kepada reaktor tersebut sewaktu logi tersebut digunakan sebagai sumber tenaga yang dijana daripada kuasa nuklear.

Aktivis alam sekitar telah sekian lama membantah cadangan pembuangan air radioaktif terawat itu sejak dari tahun 2019 lagi. Nelayan serta petani juga meluahkan kebimbangan terhadap boikot oleh pengguna yang tidak akan membeli makanan laut dan hasil keluaran dari kawasan tersebut.

Sejak penutupan loji tersebut, persatuan nelayan tempatan seringkali menjalankan kajian terhadap hasil tangkapan di kawasan Fukushima. Pada bulan Februari yang lalu, kajian terhadap tangkapan ikan batu hitam yang banyak di Lautan Pasifik mempunyai kesan radioaktif lima kali ganda lebih tinggi daripada jumlah yang dibenarkan. Maka sudah pastinya kebimbangan yang dilontarkan oleh negara setempat dan nelayan di sana berasas.

Sebagai sebuah negara kepulauan yang mempunyai pantai sepanjang 29,751km, Jepun merupakan sebuah negara yang mempunyai industri perikanan yang signifikan. Pada tahun 2017, eksport ikan Jepun ke seluruh dunia bernilai RM8.2 bilion.

 

Sumber: