Melihat kepada perkembangan terkini penularan wabak COVID-19 di Malaysia, kerajaan mengambil keputusan untuk melaksanakan Perintah Kawalan Pergerakan Bersyarat (PKPB) di Seremban bermula hari Khamis ini.

PKPB di Seremban, Negeri Sembilan akan berkuatkuasa pada 5 November hingga 18 November ini sebagai salah satu usaha untuk mengekang penularan wabak COVID-19 dalam kalangan masyarakat.

Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob ketika mengumumkan arahan tersebut hari ini berkata Majlis Keselamatan Negara (MKN) memutuskan tindakan itu diambil atas nasihat Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) yang akan melibatkan sembilan mukim iaitu Seremban, Ampangan, Labu, Bandar Seremban, Rantau, Rasah, Pantai, Setul dan Lenggeng.

Penduduk di kawasan tersebut tertakluk kepada SOP sepanjang PKPB berkuatkuasa antaranya pergerakan keluar masuk/merentas daerah adalah tidak dibenarkan kecuali bagi kes-kes kecemasan dan perlu mendapat kebenaran daripada pihak polis terlebih dahulu.

“Bagi pekerja yang perlu merentas daerah, mereka perlu menunjukkan pas kerja atau surat kebenaran daripada majikan.

“Hanya 2 orang sahaja dari sebuah rumah dibenarkan keluar untuk membeli barangan keperluan. Individu yang berisiko tinggi dan kanak-kanak tidak digalakkan keluar ke kawasan awam, terbuka dan sesak,” ujar beliau.

Selain daripada itu, semua sekolah, institusi pengajian tinggi, institut latihan kemahiran, tadika, taska, pusat tahfiz adalah ditutup; manakala aktiviti-aktiviti keagamaan di masjid dan surau seperti laungan azan, solat lima waktu dan solat Jumaat akan ditentukan oleh Pihak Berkuasa Agama Negeri.

Negeri Sembilan merekodkan sebanyak 71 kes positif COVID-19 (kes tempatan) dan beberapa kawasan iaitu Lot 1/7A, 1/7B dan 7/F Putra Point Nilai telah dikenakan arahan Perintah Kawalan Pergerakan Diperketat (PKPD).

Sumber: