Tiga lokasi tumpuan pelancongan iaitu Melaka, Pulau Tioman dan Genting Highlands bakal dibuka semula kepada orang ramai. Pengumuman tersebut dibuat oleh Kementerian Pelancongan, Seni dan Budaya. Ia dibuat susulan kelulusan yang diberikan di peringkat Mesyuarat kedua Menteri Kuartet Covid-19.
Pembukaan ketiga-tiga lokasi ini akan diumumkan oleh Perdana Menteri di peringkat Jawatankuasa Khas Pengurusan Pandemik, hari ini. Kelulusan tersebut menunjukkan gelembung pelancongan ini tidak lagi ekslusif untuk kawasan pulau seperti Pulau Langkawi sahaja. Jarak masa selama dua minggu diberi kepada ketiga-tiga destinasi ini untuk persediaan di peringkat kerajaan tempatan dan peniaga di sana.
Melaka, Pulau Tioman dan Genting Highlands bakal dibuka semula mulai 1 Oktober ini.
Faktor geografi lebih sukar untuk pembukaan Melaka
Tidak seperti Pulau Langkawi dan Pulau Tioman, pembukaan Melaka dan Genting Highlands bakal mengundang masalah terhadap penguatkuasaan. Sebelum ini, pelancong diminta untuk melengkapkan dua dos vaksinasi serta mempamerkan keputusan ujian saringan Covid-19 sebelum memasuki Langkawi.
Ia mudah dikawal lantaran pintu masuk utama ke Pulau Langkawi hanyalah Jeti Feri di Kuah dan juga Lapangan Terbang Antarabangsa. Berbeza dengan Melaka, negeri tersebut boleh diakses dengan mudah melalui pelbagai jalan. Begitu juga dengan akses jalan ke Genting Highlands yang berbeza-beza dan bakal menyukarkan aktiviti penguatkuasaan.
Kejayaan gelembung pelancongan Langkawi
Sejak 16 September hingga Ahad lalu, seramai 10,104 pelancong direkodkan di Pulau Langkawi. Ia merangkumi 6,622 pelancong yang tiba melalui lapangan terbang, manakala 3,482 lagi menggunakan feri.
Setakat 18 September, sejumlah 10 individu berjaya dikesan positif Covid-19 melalui saringan tersebut. Kementerian Pelancongan, Seni dan Budaya menyasarkan kira-kira 30,000 pelancong bakal berkunjung ke pulau peranginan itu sepanjang bulan September.
Kira-kira 200,000 pelancong domestik dijangka akan terus berkunjung ke Langkawi dari 16 September hingga Disember 2021.
Kadar vaksinasi dewasa kini mencecah 80 peratus
Semalam, kerajaan mengumumkan kadar vaksinasi berbanding populasi dewasa telah mencecah 80 peratus. Program Imunisasi Covid-19 Kebangsaan (PICK) dilancarkan pada 24 Februari lalu kini menunjukkan 80 peratus kadar populasi dewasa. Jumlah tersebut adalah bersamaan dengan 18,727,680 individu dan peratusan itu berjaya dicapai selepas 209 hari.
Kadar vaksinasi dewasa yang tinggi ini menjadi sebab utama kepada pembukaan semula sektor pelancongan. Tumpuan vaksinasi kini terarah kepada baki 20 peratus populasi dewasa, disamping remaja 12-17 tahun. Secara keseluruhannya, jumlah pemberian vaksin di negara ini meliputi empat jenis vaksin. Sebanyak 46.4 peratus telah diberikan vaksin jenis Pfizer, Sinovac sebanyak 45.4 peratus, AstraZaneza dengan 8 peratus dan CanSino sebanyak 0.2 peratus.
Penerimaan vaksin yang lengkap merupakan salah satu syarat utama bagi penyertaan di dalam gelembung pelancongan ini.