Pulau Labuan, dengan kepadatan penduduk seramai 99.6 ribu dan populasi dewasa seramai 68,500 telah berjaya memvaksinasi 54,800 daripada mereka. Jumlah tersebut mencecah 80 peratus populasi dewasa, menjadikan pulau bebas cukai itu Wilayah Persekutuan dan negeri pertama di Malaysia mencapai imuniti kelompok bagi membendung penularan Covid-19.

Berita gembira itu disampaikan oleh Pengerusi CITF Labuan Rithuan Ismail yang menyatakan bahawa sebanyak 54,800 (80 peratus) daripada jumlah populasi yang layak untuk divaksin, telah menerima dua dos vaksin mereka. Pasukan Petugas Khas Imunisasi COVID-19 (CITF) Labuan dan Jawatankuasa Pengurusan Bencana Negeri (JPBN) Labuan menyifatkan program ini sebagai tugas yang sukar tetapi mengakui kerjasama berpasukan yang hebat telah membuahkan kejayaan.

Pulau ini terletak kira-kira 8 km dari persisir pantai pulau Borneo bahagian pantai baratnya. Wilayah Persekutuan Labuan terbahagi kepada 29 buah kampung dengan 23.4 ribu buah kediaman dengan saiz keluasan sebesar 91.64 km persegi.

Mencapai imuniti kelompok lebih awal dari sasaran

Kredit gambar: https://m.sinarharian.com.my/mobile-article?articleid=187914

PICK Labuan dilancarkan secara rasmi pada 27 Februari lalu oleh Senator Datuk Bashir Alias yang menjadi individu pertama di Pulau Labuan menerima suntikan vaksin. Biarpun Jumlah penduduk yang divaksin pada Jun kurang daripada 14,000 tetapi jumlah tersebut meningkat dengan drastik kepada 40,800 dalam masa 37 hari sehingga hari ini.

Menurut Rithuan Ismail lagi, secara keseluruhannya, program vaksinasi di Pulau Labuan berjalan lancar walaupun terdapat peningkatan jumlah kes dan kemunculan varian Delta. Labuan berjaya mencapai imuniti kelompok tiga hari lebih awal daripada tarikh sasaran iaitu 30 Julai.

Pencapaian itu adalah kejayaan penduduk di Pulau Labuan yang peka terhadap kepentingan vaksinasi Covid-19. Selain itu juga, Rithuan memberikan penghargaan beliau terhadap kerja berpasukan daripada pasukan petugas khas dan masyarakat sebagai sukarelawan yang dinamakan Privo Team (Prihatin Volunteers).

Setakat semalam, Labuan merekodkan jumlah kumulatif 9,607 kes Covid-19 dan 146 kematian akibat wabak itu. Hanya lapan kes dicatatkan semalam namun tiada kematian dilaporkan. Selain itu juga, CITF Labuan merekodkan 95.7 peratus atau 65,521 daripada 68,500 populasi dewasa menerima suntikan dos pertama vaksin setakat semalam.

Program vaksin cara Pulau Labuan

Kredit gambar: https://www.freemalaysiatoday.com/category/nation/2021/07/27/labuan-the-first-to-achieve-herd-immunity/

JPBN dan CITF Labuan yang diketuai oleh Jabatan Kesihatan turut disertai wakil daripada Perbadanan Labuan, Majlis Keselamatan Negara, PDRM, Angkatan Pertahanan Awam Malaysia dan Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia. Bagi mempercepatkan pencapaian imuniti kelompok, CITF dan JPBN Labuan yang diketuai oleh pegawai dari Jabatan Kesihatan Labuan telah memperluaskan program itu dengan menjalankan vaksinasi dari rumah ke rumah untuk memberikan suntikan kepada orang kurang upaya (OKU) dan mereka yang terlantar sakit.

CITF Labuan juga turut melaksanakan vaksinasi pandu lalu dan ‘walk-in’ yang dikendalikan oleh Majlis Perwakilan Penduduk, menyaksikan ramai penduduk dari 27 kampung datang ke Pusat Pemberian Vaksin. Sebanyak sembilan buah PPV dibangunkan di Pulau Labuan termasuk satu di terminal feri antarabangsa untuk pekerja dalam sektor perkapalan, serta minyak dan gas.

Kejayaan program vaksinasi ini bagaimanapun tidak meremehkan ancaman virus Covid-19 dengan pelbagai mutasi varian baru. Ini ditekankan oleh Pengarah Kesihatan Labuan, Dr Ismuni Bohari yang berkata penduduk Labuan harus bersedia untuk hidup dengan Covid-19 dan yang paling penting, perlu terus mematuhi prosedur operasi standard (SOP).