Majalah Mangga adalah sebuah majalah bulanan terbitan kumpulan Utusan Melayu (M) Berhad yang mula diterbitkan buat kali pertama pada April 1995. Pada zaman Internet merupakan satu kemewahan berbanding keperluan, Mangga boleh dikatakan sumber utama hiburan bulanan untuk generasi muda yang membesar pada era 90-an dan awal 2000-an.
Tanyalah mana-mana orang dewasa yang membesar di Malaysia pada era ketika itu, mereka pasti kenal majalah Mangga. Ia sangat sinonim dengan gambar dan poster pin-up artis, selebriti dan atlet yang ber-posing di kolam renang.
Sehinggakan pada satu tahap, apabila orang mahu bergambar di tepi kolam renang, mereka pasti akan cakap: “Buat pose macam majalah Mangga!”
Tetapi sebelum Mangga dikenali sebagai majalah koleksi gambar selebriti di tepi kolam renang, majalah ini sebenarnya bermula sebagai sebuah komik. Berikut merupakan sejarah majalah Mangga.
Majalah Mangga bermula sebagai komik
Ketika mula-mula diperkenalkan di pasaran pada April 1995, konsep Mangga sebenarnya adalah komik bulanan setebal lebih kurang 80 muka surat. Slogan Mangga pada ketika itu adalah Bukan Sebarang Komik. Harganya pula RM3 senaskhah.
Jika diteliti kandungannya pada ketika itu, Mangga adalah hybrid antara komik dengan majalah hiburan. Dari segi analoginya, ia ibarat Ujang/Apo? dikacukkan dengan Roti Kaya/Beautiful Nara.
Muka depannya menampilkan grafik karikatur artis-artis tempatan. Di dalamnya terkandung komik yang menyentuh isu-isu semasa, sosio-ekonomi dan politik. Terdapat juga siri komik bergenre drama ala-ala Blues Untuk Aku.
Manakala ruangan hiburannya pula terkandung berita-berita hiburan tipikal seperti kisah-kisah peribadi artis, gosip, temuramah dengan artis serta sedikit artikel publisiti album dan filem terkini.
Pengarang utama majalah Mangga adalah tak lain tak bukan, Mama Juwie. Pada zaman 90-an dahulu, sebut sahaja nama Mama Juwie, serta-merta nama Mangga akan dikaitkan.
Mama Juwie suara utama Majalah Mangga
Nama Mama Juwie pun kedengaran asing bagi generasi muda ketika ini. Tetapi bagi orang yang sempat hidup pada zaman 90-an, ia adalah nama besar dalam dunia hiburan.
Artis-artis yang baru nak naik pada ketika itu menganggap apabila nama mereka disebut oleh Mama Juwie, ia bermakna mereka sudah menjadi terkenal. Ini kerana tulisan Mama Juwie dalam majalah Mangga, URTV atau kolum Auw!! dalam akhbar sisipan Pancaindera terbitan Mingguan Malaysia (nama akhbar Utusan Malaysia pada hari Ahad) dibaca berjuta-juta rakyat Malaysia.
Pengaruh Mama Juwie sangat besar dalam dunia hiburan tempatan pada ketika itu sehinggakan kumpulan Bumiputera Rockers pernah menulis lagu Juwie Juwie Juwie dalam album pertama mereka, Selamat Pagi Malaysia pada tahun 1987.
Nama sebenar Mama Juwie adalah Abdul Jalil Salleh. Beliau merupakan seorang khunsa. Wartawan hiburan ini dilahirkan di Singapura tetapi mendapat pendidikan pengajian tinggi di Yayasan Anda Akaedmik, Kuala Lumpur dan Insititut Teknologi MARA Shah Alam.
Selepas menamatkan pengajian, Mama Juwie mula bekerja sebagai wartawan di Berita Harian pada tahun 1974. Beliau bekerja di sana selama hampir 10 tahun sebelum berhijrah ke akhbar Utusan Malaysia pada sekitar pertengahan 1980-an.
Konsep Majalah Mangga mendapat sambutan
Berbalik kepada majalah Mangga, konsep majalah Utusan Malaysia yang menggabungkan komik dengan berita hiburan ternyata mendapat sambutan.
Tidak sampai setahun diterbitkan, Mangga mengumumkan dalam isu ke-8 sebanyak 75,000 naskhahnya terjual sebulan.
Pada tahun 1997, dua tahun selepas diterbitkan buat julung kalinya, Mangga mengumumkan jumlah edarannya sudah mencecah 200,000 naskhah sebulan.
Kemudian setahun kemudian, pada tahun 1998, Mangga mengumumkan jumlah pembacanya sudah mencecah 1 juta sebulan.
Seiring dengan pertambahan jumlah pembacanya, Mangga mula berevolusi. Jumlah mukasurat ditambah kepada lebih 100 muka surat, seiring dengan pertambahan jumlah iklan di dalamnya.
Dari segi kandungan, Mangga turut dilihat mengurangkan komik dan melebihkan berita hiburan kerana menurut hasil tinjauan sidang redaksi mereka – pelanggan utama Mangga adalah golongan muda 18-30 tahun yang dahagakan berita hiburan berbahasa Melayu.
Jika pada asalnya kandungan komik dalam Mangga menandungi 40 muka surat, lama-kelamaan ia dikurang sehingga menjadi kurang 10 muka surat. Akhirnya pada tahun 2002, slogan Mangga telah ditukar dari Bukan Sebarang Komik kepada Bukan Sebarang Hiburan.
Mula dikenali dengan gambar tepi kolam renang
Dalam masa sebulan di negara kecil seperti Malaysia, bukanlah banyak sangat pun berita hiburan yang cukup menarik untuk dimuatkan dalam Mangga. Jumlah syarikat yang mahu beriklan dalam Mangga pula semakin banyak. Dianggarkan pendapatan untuk Mangga sahaja pada zaman puncaknya mencecah lebih RM2 juta setahun.
Jadi sidang redaksi Mangga perlu memikirkan strategi untuk memastikan Mangga kekal menarik di mata pembaca walaupun jumlah muka suratnya bertambah.
Strategi yang sidang redaksi Mangga tampilkan cukup ringkas, tetapi cukup efektif – banyakkan gambar artis untuk sajian mata pembacanya. Ketika inilah Mangga mula dikenali sebagai majalah koleksi gambar artis tepi kolam renang.
Strategi ini bukanlah strategi baru pun. Ia telah pun digunakan oleh majalah hiburan lain seperti VariaPop, Media Hiburan, Pesta, URTV dan Hai. Tetapi kelebihan Mangga terletak kepada saiz majalahnya yang lebih kecil.
Apabila saiz majalahnya kecil, Mangga dapat memberi fokus lebih kepada kualiti kertas yang digunakan dalam majalah mereka. Mangga menggunakan coated paper yang lebih berkilat dan cantik. Sedangkan majalah hiburan lain, walaupun bersaiz besar, masih lagi menggunakan kertas kitar semula yang berwarna kuning, kusam dan kasar teksturnya.
Selain itu, saiz Mangga yang kecil juga membuatkannya menjadi tebal berbanding majalah hiburan lain. Jadi psikologi pelanggan menganggap dengan harga RM3 hingga RM5, mereka dapat lebih banyak kandungan di Mangga berbanding majalah hiburan lain.
Mangga mula mendapat kecaman
Ketiggian populariti Mangga, walaupun memberi keuntungan, sebenarnya juga bertanggungjawab menyebabkan kejatuhan popularitinya. Populariti majalah itulah yang menyebabkan ia berada hampir semua rumah orang Melayu sehingga kewujudannya mula disedari oleh orang-orang tua dan golongan beragama.
Jika sebelum ini orang-orang tua dan golongan beragama tidak ambil pusing dengan Mangga, kini Mangga mula mendapat perhatian mereka.
Kekerapan Mangga menyiarkan gambar seksi artis di tepi kolam renang menimbulkan banyak rungutan dan teguran. Untuk memberi justifikasi kepada gambar-gambar ini, pada tahun 2005 sidang redaksi Mangga mengeluarkan pula slogan Berenang Untuk Kesihatan dan Berenang Menyihatkan Badan di posternya.
Jika dulu artis hanya disuruh ber-posing sahaja di tepi kolam renang dengan badan yang basah, kini Mangga menerbitkan juga gambar artis tersebut berenang betul-betul dalam majalahnya. Semuanya untuk menyesuaikan konsep poster mereka dengan slogan Berenang Untuk Kesihatan dan Berenang Menyihatkan Badan.
Kesedaran orang ramai terhadap teguran-teguran ini sedikit sebanyak menjejaskan populariti dan jumlah edaran Mangga dalam pasaran. Malah di Facebook sekitar 2009 hingga 2011 dahulu, banyak group ditubuhkan untuk menyuarakan bantahan orang ramai terhadap kandungan Mangga.
Diancam fatwa mufti dan Internet
Kemuncak kontroversi Mangga yang gemar menyiarkan gambar seksi artis di tepi kolam renang berlaku pada tahun 2012.
Jabatan Mufti Negeri Kedah dalam satu keputusan mesyuarat Jawatankuasa Fatwanya pada 29 Mei 2012 memberitahu:
“Mana-mana penerbitan yang mempamerkan wanita-wanita ataupun lelaki yang mendedahkan aurat hukumnya adalah haram kerana bertentangan dengan kehendak syariat. Oleh itu dicadangkan supaya Bahagian Kawalan Penerbitan Kementerian Dalam Negeri ( KDN ) menangani isu ini dengan lebih efektif.”
Dalam erti kata lain, Kedah menfatwakan majalah Mangga sebagai haram kerana mempamerkan gambar wanita dan lelaki yang mendedahkan aurat dalam kandungannya.
Jika ini belum cukup untuk menjejaskan jumlah edaran Mangga di pasaran, kemunculan telefon pintar dan perluasan akses Internet menyebabkan Mangga semakin tak relevan di hati masyarakat.
Tiada siapa peduli dengan pendapat Mama Juwie lagi. Akibatnya Mama Juwie meninggalkan Mangga pada tahun 2007.
Kemudian, semakin kurang orang yang membeli majalah apabila mereka boleh mendapatkan berita hiburan secara percuma di Internet. Akibatnya Mangga perlahan-lahan cuba beralih ke medium dalam talian di manggaonline.com.my.
Tidak cukup dengan itu, Mangga cuba menarik perhatian pembaca dalam talian dengan tajuk-tajuk berita berbau ‘sexual innuendo‘. Ia ibarat percubaan terakhir Mangga untuk membuktikan kerelevanannya.
Operasi majalah fizikal Mangga akhirnya dihentikan pada tahun 2015. Manakala operasi dalam taliannya pula, Mangga Media yang dipindahkan ke bawah pengurusan Utusan Karya sejak 2015 – penerbit sama yang mengurus majalah Mastika – dihentikan pada tahun 2018,.