Sistem kad pengenalan di negara kita sudah diguna pakai sejak tahun 1948. Pada ketika itu, tujuan utama penggunaan kad pengenalan adalah bagi menjaga keselamatan negara daripada ancaman komunis.
Penggunaan kad pengenalan berjaya memudahkan anggota keselamatan ketika itu untuk mengenal pasti kumpulan komunis yang mengganas pada Zaman Darurat. Kad pengenalan Malaysia sudah melalui pelbagai perubahan reka bentuk untuk memenuhi ciri keselamatan selari dengan peredaran zaman.
Era digitalisasi membawa kepada pengenalan MyKad bagi menggantikan kad pengenalan biasa pada tahun 2001. MyKad merupakan dokumen yang sofistikated dan dilindungi ciri-ciri keselamatan yang canggih.
Namun begitu, keberadaan MyKad di dalam simpanan sering membawa kepada satu masalah. Ini kerana, MyKad sering kali digunakan oleh pengawal keselamatan sebagai instrumen tebusan. Sebagai contoh, anda perlu meninggalkan MyKad untuk masuk ke sesuatu premis, meminjam kerusi roda dan sebagainya.
Amalan ini sebenarnya bertentangan dengan Peraturan-Peraturan Pendaftaran Kebangsaan 1990.
Pegawai yang dibenarkan menyimpan kad pengenalan
Menerusi Peraturan-Peraturan Pendaftaran Kebangsaan 1990, hanya terdapat lima pegawai sahaja yang dibenarkan untuk meminta dan menyemak kad pengenalan. Pegawai-pegawai itu termasuk:
1. Pegawai Jabatan Pendaftaran;
2. Pegawai Polis;
3. Pegawai Kastam;
4. Pegawai Tentara; dan/atau
5. Pegawai yang diberi kuasa oleh Ketua Pengarah Pendaftaran.
Di dalam senarai ini, jelas menunjukkan pengawal keselamatan di premis-premis persendirian tidak termasuk di dalam senarai ini. Maka, adalah menjadi satu kesalahan untuk mereka meminta dan menyimpan MyKad.
Jika disabit kesalahan, individu tersebut boleh dipenjara tidak melebihi tiga (3) tahun atau denda tidak melebihi RM20,000 atau kedua-duanya sekali.
Wajib dibawa bersama pemiliknya
Dokumen pengenalan diri ini wajib berada dengan pemiliknya pada setiap masa. Ia sangat penting dalam urusan seharian individu dalam menjamin kesahihan pemegangnya untuk mengelak sebarang pemalsuan dan penyalahgunaan.
Mengikut Akta Pendaftaran Negara 1959 (Akta 78) dan Peraturan-peraturan Pendaftaran Negara (PPPN) 1990, membawa kad pengenalan sepanjang masa adalah wajib. Mana-mana individu yang gagal mengemukakan dokumen pengenalan diri ketika diperiksa oleh pihak polis adalah satu kesalahan.
Individu yang gagal mengemukakan dokumen pengenalan diri boleh ditangkap tanpa waran mengikut peraturan yang sama. Hukuman yang boleh dikenakan adalah penjara tidak lebih tiga tahun atau denda tidak melebihi RM20,000 atau kedua-duanya.