Sebelum ini terdapat cakap-cakap di dalam industri pelancongan berhubung perancangan menjadikan Pulau Langkawi sebagai projek perintis destinasi gelembung pelancongan. Langkah itu dibuat sebagai pertimbangan berdasarkan tiga aspek utama, iaitu kesihatan dan keselamatan rakyat; ekonomi rakyat dan kelangsungan perniagaan; serta kesejahteraan rakyat.

Keseimbangan melibatkan ketiga-tiga aspek tersebut dibuat secara berhati-hati bagi mengelakkan berlakunya kluster baharu yang boleh menyebabkan penutupan semula aktiviti pelancongan sekaligus menjejaskan keseluruhan rantaian yang terlibat. Selain itu juga, pembukaan sektor ekonomi secara berperingkat adalah amat penting bagi memastikan pemain industri dalam sektor berkenaan terutama mereka yang terlibat dalam rantaian sektor pelancongan kembali bernafas serta berpeluang untuk menjalankan semula aktiviti perniagaan mereka yang telah terjejas sejak sekian lama akibat pandemik.

Hampir 70 peratus penduduk di Pulau Langkawi bergantung kepada pelancongan untuk pendapatan mereka merangkumi sektor penginapan, pengangkutan, runcit, makanan dan minuman serta perkhidmatan sokongan yang lain. Penutupan sektor pelancongan ini menjadikan mereka hilang pendapatan begitu sahaja.

Capai imuniti kelompok pada 31 Ogos

Kredit gambar: https://hampg.moh.gov.my/index.php/khas-covid-19/18-news-and-events/latest-news/547-promosi-vaksinasi-akan-diperluaskan

Langkawi mempunyai 119,000 penduduk dan telah mencapai status imuniti kelompok pada 31 Ogos lalu. Pada awalnya, Kementerian Pelancongan, Seni dan Budaya (MOTAC) menyasarkan tarikh 1 September yang lalu untuk sektor pelancongan di Langkawi dibuka kepada orang ramai, namun ditunda atas faktor peningkatan kes Covid-19.

Pemilihan Langkawi sebagai sektor pelancongan pertama dibuka semula oleh MOTAC adalah kerana lokasinya yang tertumpu dan tertutup, seterusnya mudah dikawal. Syarikat penerbangan antarabangsa juga boleh terbang secara terus ke Langkawi. Maka, ia lebih mudah untuk dikawal bagi pembukaan sektor pelancongan bagi mereka yang sudah melengkapkan vaksinasi masing-masing.

Sehingga hari ini, hanya Langkawi dipilih sebagai projek rintis untuk dibuka kembali kepada pelancong tempatan bermula 16 September ini. Manakala destinasi pelancongan lain akan dibenarkan beroperasi apabila kadar vaksinasi lokaliti mencapai 80 peratus.

Senarai aktiviti yang dibenarkan di Langkawi

Kredit gambar: https://www.ritzcarlton.com/en/hotels/malaysia/langkawi/hotel-overview

Kementerian Pelancongan, Seni dan Budaya (MOTAC) akan membenarkan tujuh aktiviti pelancongan utama di Langkawi sempena pembukaan semula pulau peranginan itu kepada pelancong tempatan. Kebenaran tersebut adalah merangkumi kebenaran penginapan di hotel dan homestay termasuk semua fasiliti dalam premis hotel dan homestay (rumah inap), aktiviti perniagaan seperti mesyuarat, insentif, konvensyen dan pameran serta acara-acara pelancongan dan kebudayaan.

Kebenaran juga diberikan untuk produk tarikan utama pelancong seperti aktiviti pantai, sukan air, snorkeling, selam skuba, pelancongan memancing, pusat edutainment, taman rekreasi, sukan lasak atau pengembaraan (adventure) atau taman semulajadi (nature parks), ladang (farms), akuarium, zoo dan lain-lain kegiatan riadah, rekreasi serta sosial.

Selain itu juga, aktiviti lain seperti golf, selam skuba, berbasikal, memancing, pelayaran dan sebagainya juga dibenarkan. Turut dibenarkan ialah aktiviti eko geo-kembara seperti berkhemah, mendaki, kembara gua, dan ‘jungle trekking’.