Dengan ekonomi Itali semakin meleset akibat krisis wabak COVID-19, organisasi Mafia negara tersebut mengambil inisiatif menghulurkan makanan percuma kepada keluarga B40.

Polis Itali risau tindakan Mafia ini menyebabkan orang awam di empat wilayah selatan Itali menjadi terhutang budi kepada mereka. Ini berikutan tertularnya video geng-geng Mafia menghulurkan pasta, air, tepung dan susu kepada keluarga B40 di Campania, Calabria, Sicily dan Puglia.

Ketua Pendakwaraya Jabatan Peguam Negara, Nicola Gratteri berkata beliau risau kelambatan kerajaan membantu keluarga B40 akan membuatkan Mafia mula disokong oleh orang awam.

“Kedai-kedai, kafe, restoran dan pub dah sebulan ditutup. Berjuta-juta orang dah sebulan tak dapat gaji dan tak tahu mereka masih ada kerja atau tak selepas ini. Setakat ini kerajaan baru sahaja beri baucar belanja untuk bantu rakyat.

“Saya risau kalau kerajaan tak bantu mereka cepat-cepat, Mafia akan buat kerja kerajaan dan dapat sokongan rakyat.”

Media baru-baru ini melaporkan insiden beberapa rakyat Itali mendesak pemilik kedai untuk memberi makanan secara percuma.

Di Sicily, sebuah video merakamkan protes orang ramai terhadap kelambatan kerajaan menghulurkan bantuan.

Satu lagi video di Bari menunjukkan insiden beberapa individu bertumbuk sesama sendiri kerana berebut duit €50 (RM236).

Seramai 3.3 juta rakyat Itali terkesan dengan penutupan aktiviti ekonomi yang disebabkan oleh penularan wabak COVID-19. 1 juta daripadanya duduk di selatan Itali; sarang aktiviti Mafia Itali sejak sekian lama.

Polis bertindak balas dengan melakukan rondaan lebih kerap di kawasan-kawasan kediaman golongan B40 yang menjadi sasaran penghantaran makanan oleh Mafia.

Di Palermo, media melaporkan adik bos Mafia Cosa Nostra mengedar makanan kepada keluarga miskin. Apabila laporan ini diterbitkan, lelaki tersebut mempertahankan tindakannya di Facebook dan menyerang secara fizikal wartawan yang melaporkan insiden tersebut.

Taktik Mafia membuat kebajikan kepada orang miskin merupakan taktik lama yang terbukti berkesan. Pada mulanya mereka akan menghulurkan bantuan tanpa sebarang balasan.

Tetapi bos Mafia tahu untuk berkuasa di sesebuah wilayah, mereka perlu menjaga kebajikan orang di wilayah tersebut. Mereka mengeksploit situasi supaya sokongan berpihak kepada mereka.

Kekuatan Mafia bukanlah terletak kepada jumlah duit yang mereka ada. Sebaliknya ia terletak kepada kekuatan sokongan yang mereka dapat dari sesebuah tapak.

Di mata orang awam, bos Mafia yang ketuk pintu rumah mereka dan beri makanan percuma adalah hero mereka. Bos-bos Mafia juga tahu mereka boleh harapkan sokongan keluarga yang terhutang budi kepada mereka ini dalam pilihan raya, apabila Mafia menaja kempen ahli politik yang dikawal oleh mereka.

Sumbangan yang diberikan oleh Mafia ini bukanlah sumbangan semata-mata. Ia adalah hutang budi yang diharapkan akan dibalas dengan mengangkat ahli politik yang kotor serta membawa dadah dan senjata ke wilayah mereka.

Taktik sama turut dilakukan oleh ketua kartel dadah Mexico, El Chapo. Beliau membawa masuk bertan-tan kokain dan menaja pembunuhan beratus-ratus orang seluruh negra. Tetapi di kampungnya, beliau dikenali dengan kemurahan hatinya. Beliau membina jalan, menaja kos perubatan dan makanan.

Selain itu, Mafia Itali juga dilaporkan memberi bantuan suntikan modal kepada peniaga-peniaga yang bergelut dengan kesempitan ekonomi ketika ini.

Tetapi polis memberi amaran, peniaga yang menerima tawaran Mafia ini akan menjadi kuda tunggangan Mafia untuk aktiviti penggubahan wang haram mereka.

Sumber: