Sokongan terhadap Internet Explorer akan dihentikan mulai Jun 2022 menurut Microsoft. Menurut Sean Lyndersay seorang Program Manager Microsoft, Windows 10 dan ke atas akan sepenuhnya menggunakan Microsoft Edge selepas ini.

Desas desus mengenai penamatan khidmat pelayar internet lagenda ini bermula sejak tahun 2015 lagi dengan kelahiran Microsoft Edge sebagai pelayar internet utama bagi Windows 10. Sejak November 2020, Microsoft Teams versi website juga tidak dapat diakses melalui Internet Explorer dan hanya boleh dilayari melalui Microsoft Edge.

Dilancarkan pada Ogos 1995 bersama-sama dengan Windows 95, Microsoft membelanjakan hampir US$100 juta setiap tahun bagi memperkemaskan dan menambah baik Internet Explorer. Awal 90-an merupakan dekad keunggulan bagi Internet Explorer selepas menewaskan Netscape. Pada tahun 2003, Internet Explorer muncul sebagai dominasi pelayar internet terbesar dengan 95 peratus pengguna internet di dunia menggunakannya.

Kejatuhan Internet Explorer bermula dengan kelahiran Firefox pada tahun 2004 dan Google Chrome pada tahun 2008. Pada tahun 2021, hanya 0.81 peratus pengguna internet menggunakan Internet Explorer sebagai pelayar pilihan mereka. Google Chrome jauh di hadapan dengan 63.54 peratus dan Safari oleh Apple di tempat kedua dengan 19.45 peratus. Pengganti Internet Explorer, Edge pula hanya berada di kedudukan kelima selepas Firefox dan Samsung Internet dengan 3.23 peratus.