Sebuah syarikat pengeluar dan penyedia perkhidmatan penyenggaraan kereta api yang terkemuka baru-baru ini telah melancarkan lokomotif kereta api elektrik diesel pertama buatan Malaysia untuk pasaran eksport. Syarikat tersebut, SMH Rail Sdn Bhd (SMH Rail) melancarkan Lokomotif H10 Series yang dibina dengan teknologi canggih mesra alam. Pembuatan lokomotif kereta api itu adalah seiring congan kata syarikat itu iaitu “Mempelopori Pengangkutan Mesra Alam” (Towards Green Mobility).

Dengan pengalaman industri menjangkau lebih 20 tahun, tumpuan syarikat ialah untuk terus menyediakan penyelesaian cemerlang kepada rakan rel global dari segi kos, kecekapan dan kebolehpercayaan. Dengan pelancaran Lokomotif H10 Series ini, SMH Rail dilihat mempunyai perancangan jangka masa panjang untuk terus membina penyelesaian inovatif dalam industri rel di peringkat global.

SMH Rail adalah pengeluar dan penyedia perkhidmatan penyenggaraan, pembaikan dan baik pulih (MRO) bagi kereta api yang telahpun bertapak di lebih buah 20 negara.

Lokomotif buatan Malaysia pertama untuk pasaran eksport

Kredit gambar: https://dagangnews.com/smh-rail-lancar-lokomotif-pertama-buatan-malaysia-8418

Lokomotif H10 Series dikeluarkan di negara ini bukan sahaja dapat menonjolkan kepakaran Malaysia dalam pasaran kereta api, tetapi juga menerima pengiktirafan daripada The Malaysia Book of Records (MBR). Keluaran SMH Rail ini telah diiktiraf oleh MBR sebagai Lokomotif Buatan Malaysia Pertama untuk pasaran eksport.

Memandangkan lebih 60 peratus daripada komponennya dikilang di Malaysia, H10 Series adalah pencapaian penting yang meletakkan Malaysia setaraf dengan negara-negara pengeluar lokomotif dunia. Kumpulan Lokomotif H10 Series pertama dalam siri ini akan dibekalkan kepada Tanzania Railways Corporation yang membuat tempahan berasaskan sokongan dana daripada Bank Dunia.

H10 Series mematuhi standard Kesatuan Keretapi Antarabangsa

Kredit gambar: https://www.bernama.com/en/news.php?id=1994779

Lokomotif dwikabin itu mematuhi piawaian Kesatuan Keretapi Antarabangsa (UIC) yang direka untuk pengangkutan muatan berat dan perkhidmatan jarak jauh tanpa gangguan. Antara ciri utamanya ialah keupayaan beroperasi dalam persekitaran dan keadaan cuaca melampau, untuk jaminan prestasi tergabung dengan tahap kebolehpercayaan dan ketersediaan yang tinggi.

Selain itu juga, Lokomotif H10 Series turut dilengkapi dengan penyelesaian pemantauan dan diagnostik jarak jauh untuk menyediakan maklumat terkini dalam masa sebenar kepada pengendali rel. Ia akan membolehkan pengendali rel memantau prestasi dari jarak jauh termasuk kelajuan, keperluan penyenggaraan, penggunaan bahan api dan pemberitahuan ralat.

Lokomotif yang dibekalkan kepada Tanzania Railways Corporation tersebut dijangka akan membawa manfaat ekonomi besar kepada industri kargo rel Afrika. Ini kerana, kereta api itu berpotensi untuk menggantikan 100 trak kargo, mengurangkan pelepasan karbon sehingga 75 peratus, menurunkan kadar kesesakan lebuh raya dan menjimatkan bahan api secara purata sebanyak empat kali berbanding pengangkutan darat.

Syarikat tempatan bertaraf antarabangsa

Kredit gambar: https://www.thestar.com.my/business/business-news/2021/04/24/malaysias-smh-rail-provides-leading-edge-global-railway-solutions

SMH Rail juga berbangga memiliki lebih 1,000 jurutera dan juruteknik berbakat. Menariknya, kepakaran tempatan di syarikat ini turut dibangunkan melalui kerjasama strategik dengan pendahulu industri seperti termasuk Genera Electric, Siemens, Amsted dan Thales Group.

Sehingga kini, SMH Rail sudah menyiapkan lebih 376 kereta metro yang kini telahpn beroperasi. Ini termasuk penyediaan kereta api elektrik canggih tanpa pemandu bagi Tren Aliran Transit Massa 1 (MRT 1) (Sungai Buloh – Kajang) sepanjang 51 kilometer (km) yang disempurnakan mengikut jadual dan belanjawan serta MRT 2 (Sungai Buloh– Serdang – Putrajaya) sepanjang 57.7km yang kini dalam pembinaan.

Malah syarikat itu juga menyediakan perkhidmatan penyelenggaran dengan kos efektif bagi Keretapi Tanah Melayu Berhad (KTMB) dan Prasarana, sekali gus meningkatkan hayat kereta api mereka. Sejak lebih dua dekad lalu, SMH Rail mengambil langkah signifikan dengan meneroka pasaran antarabangsa termasuk di Asean, Eropah, Afrika dan India.

Pada masa sama, SMH Rail turut memodenkan kereta api milik SMRT Singapura selain membina trak kereta api (bogie) dan roda serta gandar bagi kereta api elektrik berkelajuan tinggi untuk India. Syarikat ini juga pernah dipertanggungjawabkan untuk membina gerabak rel khas untuk sebuah syarikat Jerman, Kirow.