Kepekatan gas karbon dioksida, CO2 di atmosfera Bumi mencapai tahap tertinggi sepanjang sejarah ia direkodkan oleh Balai Cerap National Oceanic and Atmospheric Administration (NOAA) di Mauna Loa, Hawaii.
Bacaan kepekatan karbon dioksida pada 10 Februari lepas mencatatkan bacaan 416.08 ppm. Pada tahun lepas, kepekatan CO2 di atmosfera Bumi mencatat bacaan 411.97 ppm.
Kenaikan tahap kepekatan CO2 ini membuatkan aktivis iklim dan saintis mendesak komuniti antarabangsa untuk menghentikan sebarang aktiviti yang melibatkan pembakaran bahan bakar fosil dan penebangan hutan.
Dalam pada masa yang sama, kenaikan tahap kepekatan CO2 juga menunjukkan dunia masih belum cukup serius menangani krisis iklim.
Aktivis iklim remaja Greta Thunberg menulis di Twitter beliau:
“Sayangnya berita ini tidak akan menjadi berita tergempar. Tiada siapa yang betul-betul faham apa yang kita sedang lalui sekarang. Kerana kita tak ambil tindakan yang sewajarnya.”
Aktivis Sweden yang tercalon dalam Anugerah Nobel Keamanan ini menjadi ikon dunia berikutan ucapannya yang memarahi generasi lebih berumur kerana tidak mengambil serius isu iklim dunia.
Saintis iklim Jean-Pascal van Ypersele yang menulis beberapa laporan amaran krisis iklim untuk Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB) pula mendesak, “segala bentuk pengeluaran asap dari bahan bakar fosil dan penebangan hutan wajib dihentikan sehingga KOSONG!”
Lebih menakutkan adalah Pusat Cuaca United Kingdom, Met Office memberitahu bacaan tahap kepekatan CO2 dijangka akan terus naik melebihi 417 ppm.
“Walaupun tahap kepekatan CO2 sentiasa naik sejak 1958 kerana pembakaran bahan bakar fosil dan penebangan hutan, kadar kenaikannya agak mendadak. Pada tahun 2020, kami menjangka bacaan akan terus naik melebihi 417 ppm selepas kebakaran hutan di Australia hujung tahun lepas.”
Apa yang kita boleh buat?
Satu-satunya perkara yang boleh memberi impak yang signifikan terhadap usaha menangani krisis iklim dunia adalah mengubah polisi kerajaan. Polisi kerajaan yang menyumbang kepada pembakaran bahan bakar fosil dan penebangan hutan perlu diubah supaya ianya berkurangan.
Jadi kita sebagai rakyat Malaysia perlu mendesak ahli politik kita untuk menjadikan isu iklim dunia sebagai salah satu tumpuan utama dalam manifesto parti dan dasar kerajaan.
Tetapi selain itu, kita juga boleh bertindak dengan:
1. Mengundi ahli politik dan parti politik yang menjadikan isu iklim sebagai tumpuan utama mereka.
2. Menyertai kumpulan sukarelawan yang bekerja ke arah penyelesaian isu iklim dunia seperti Global Environment Centre (GEC), Malaysia Nature Society (MNS), World Wide Fund for Nature (WWF) Malaysia dan banyak lagi.
3. Mula mengutamakan penggunaan tenaga boleh diperbaharui (renewable energy) seperti elektrik atau solar berbanding tenaga yang dihasilkan oleh bahan bakar fosil.
4. Menggunakan Ecosia sebagai enjin carian. Ecosia menderma 80% keuntungan mereka kepada usaha menanam pokok. Keseluruhan operasi mereka dijana melalui tenaga solar.
5. Kurang mengambil daging lembu dalam pemakanan. Industri ternakan lembu yang berlebihan melepaskan lebih banyak gas rumah hijau berbanding kereta.