Kepakaran jurulatih berpengalaman luas, Datuk Misbun Sidek ditagih Persatuan Badminton Malaysia (BAM) dalam usaha melahirkan lebih ramai pemain muda berkualiti buat negara apabila sah bakal melantik individu berpengaruh itu sebagai pengarah teknikal skuad remaja negara.

Datuk Misbun nyata merupakan calon yang sesuai bagi mengisi jawatan tersebut susulan kerja keras dan kepakarannya dalam mencungkil bakat Datuk Lee Chong Wei sejak awal kariernya sehingga bergelar legenda badminton dunia.

Menurut sumber Berita Harian, berita itu disahkan sendiri Presiden BAM, Datuk Seri Mohamad Norza Zakaria yang mendedahkan pengumuman rasmi akan dilakukan dalam masa terdekat oleh pihaknya.

“Misbun akan menjadi supremo kepada pemain remaja dan saya akan bentangkan perkara ini untuk mendapatkan kelulusan pengurusan pada minggu pertama Februari,” ujar Datuk Seri Norza kepada wartawan Berita Harian. 

Datuk Misbun Sidek merupakan antara individu yang cukup bermakna buat Datuk Lee Chong Wei. Kredit foto: BAM

Datuk Misbun yang kini merupakan ketua jurulatih skuad perseorangan lelaki negara mengakui beliau menerima segala keputusan pucuk pimpinan BAM dengan hati yang terbuka.

“Ada dalam perbincangan, jadi kita tunggu sahaja bila Datuk Norza akan umumkan. Apa pun saya akan akur dan terima sahaja dengan sebulat hati dan suara.”

”Apa yang penting saya ada rasa nak bantu (pemain remaja), kalau saya tidak ada rasa nak bantu, itu soal lain.”

“Buat masa sekarang, kalau itu yang disarankan untuk kebaikan badminton, saya akur dengan apa yang diberikan,” tambah Datuk Misbun lagi.

Kredit foto: Persatuan Badminton Malaysia (BAM)