Kalau kita tengok kebanyakan negara yang penduduk majoritinya beragama Islam pun ada warna hijau dalam bendera mereka. Contohnya seperti Arab Saudi, Libya, Bangladesh, Pakistan, Algeria, Palestin dan banyak lagi.
Kemudian warna bendera Hamas pun hijau. Begitu juga dengan warna logo Parti Islam Se-Malaysia (PAS).
Persoalannya sekarang – kenapa warna hijau selalu dikaitkan dengan identiti agama Islam? Berikut merupakan sebab-sebabnya.
1. Warna kegemaran Nabi Muhammad SAW
Annas bin Malik pernah berkata:
“Warna yang paling disukai oleh Rasulullah ﷺ adalah hijau.” [Diriwayatkan oleh al-Tabrani dalam al-Mu’jam al Akusat, nombor hadis 8027]
Walaupun hadis ini lemah, ia dikuatkan dengan kisah Annas dalam kitab al-Bayhaqi, Shu’ab al-Iman yang berkata, “Kami selalu berkata warna kegemaran Nabi SAW adalah hijau.”
2. Warna pakaian ahli syurga
أُولٰئِكَ لَهُم جَنّٰتُ عَدنٍ تَجري مِن تَحتِهِمُ الأَنهٰرُ يُحَلَّونَ فيها مِن أَساوِرَ مِن ذَهَبٍ وَيَلبَسونَ ثِيابًا خُضرًا مِّن سُندُسٍ وَإِستَبرَقٍ مُّتَّكِئينَ فيها عَلَى الأَرائِكِ ۚ نِعمَ الثَّوابُ وَحَسُنَت مُرتَفَقًا
(Surah Al Kahfi, ayat 31)
Maksud ayat : ” Mereka itu disediakan baginya Syurga yang kekal, yang mengalir di bawahnya beberapa sungai; mereka dihiaskan di dalamnya dengan gelang-gelang tangan emas dan memakai pakaian HIJAU dari sutera yang tipis dan sutera tebal yang bersulam, mereka berehat di dalamnya dengan berbaring di atas pelamin-pelamin (yang berhias). Demikian itulah balasan yang sebaik-baiknya dan demikian itulah Syurga tempat berehat yang sebaik-baiknya.”
3. Warna cadar ahli syurga
مُتَّكِئينَ عَلىٰ رَفرَفٍ خُضرٍ وَعَبقَرِيٍّ حِسانٍ
(Surah Ar-Rahman, ayat 76)
Maksud ayat : “Penduduk Syurga itu ( bersenang-lenang) di dalamnya dengan) berbaring di atas (bantal-bantal) dan cadar-cadar yang HIJAU warnanya serta permaidani-permaidani yang sangat indah.”
4. Berada di tengah-tengah spektrum cahaya
Warna hijau adalah warna yang berada di tengah-tengah spektrum cahaya. Islam pula merupakan agama yang mengajar penganutnya supaya bersederhana (tengah-tengah). Prinsip ajaran Islam dan kedudukan warna hijau dalam spektrum cahaya saling berkaitan.
5. Warna kubah Masjid Nabawi
Masjid Nabawi pertama sekali dibina oleh Nabi SAW pada tahun pertama Hijrah di Madinah. Identiti kubah hijau di Masjid Nabawi ini dimulakan oleh Sultan Abdul Hamid II yang mengarahkan kubah masjid tersebut dicat dengan warna hijau. Warna hijau pada kubah masjid itu kekal sehingga hari ini.
6. Identiti Empayar Uthmaniyyah
Banyak seni bina dan dekorasi pembinaan pada zaman Uthmaniyyah diwarnakan dengan warna hijau. Kemuncaknya adalah pembinaan Masjid Hijau di Bursa, Turki.
7. Salah satu warna baju kepunyaan Nabi SAW
Abu Daud dan al-Tarmizi meriwayatkan hadis daripada Abu Rimsah (Rifa’ah):
“Aku telah melihat Rasulullah ﷺ memakai dua baju berwarna hijau”. [Riwayat al-Tarmizi dalam Sunan al-Tarmizi, nombor hadis 2737].
8. Dikaitkan dengan Nabi Khidir AS
Khidir bermaksud ‘hijau’ dalam bahasa Arab. Gelaran ‘Khidir’ tersebut diberi kepada Nabi ini kerana setiap tanah kering yang diduduki dan digunakan untuk solat oleh beliau akan bertukar menjadi subur (hijau). Mukjizat ini diberikan Allah SWT kepada Nabi Khidir AS seperti yang dinyatakan dalam Surah al-Kahfi, ayat 65-82.