Sekiranya anda seorang yang teliti, sudah pasti beberapa perkara kecil akan dikenali dengan mudah. Sebagai contoh, sebenarnya terdapat 4:10 nisbah kesemua barangan anda yang berzip menggunakan jenama yang sama.

Sejak 87 tahun lalu, Yoshida Kogyo Kabushikikaisha (YKK) ditubuhkan dan kini perniagaan zip mereka memonopoli dunia. Biarpun begitu, YKK bukanlah pencipta zip yang pertama. Kualiti dan kekuatan jenama YKK bagaimanapun tidak dapat ditandingi oleh mana-mana syarikat, lantas menyebabkan monopoli ini berterusan.

Ini kisah disebalik syarikat YKK yang berasal dari Jepun dan kini memiliki kilang terbesar di Amerika Syarikat.

Ditubuhkan oleh Tadao Yoshida, peminat zip

Kredit ganbar: WGT

Yoshida Kogyo Kabushikikaisha (YKK) sebenarnya bermaksud Yoshida Company Limited. Syarikat pembuat zip ini ditubuhkan oleh Tadao Yoshida pada tahun 1934 di Higashi Nihonbashi, Tokyo.

Beliau sangat meminati zip dan mahu memperbetulkan kualiti zip di pasaran. Sewaktu menubuhkan YKK, Yoshida baru berusia 24 tahun.

Proses pembuatan zip YKK dihasilkan dengan Yoshida memperbetulkan kualiti mesin zip yang dibeli di pasaran. Sepanjang pembuatan zip tersebut, YKK berusaha untuk mengubah cara zip dihasilkan agar ia kekal berkualiti untuk tempoh masa yang panjang.

Proses penghasilan zip oleh YKK agak berbeza kerana mereka berusaha untuk mengeluarkan zip yang 100 peratus dicipta sendiri. Ini bermaksud, penghasilan zip YKK tidak bergantung kepada mana-mana syarikat lain. Hatta tembaga yang digunakan juga ditempa sendiri bagi mengekalkan kualiti.

Bagaimanapun, kejayaan YKK terhenti seketika dek Perang Dunia Kedua.

Globalisasi pemangkin kejayaan YKK

Kredit gambar: World Crunch

Perang Dunia Kedua yang memusnahkan dan melumpuhkan ekonomi Jepun. Namun ia tidak terlalu mengesankan YKK yang terus mengorak langkah.

Selepas Perang Dunia Kedua berakhir, sempadan perniagaan antara negara dibuka semula. Syarikat YKK mula membeli mesin yang menghasilkan zip secara automatik dari Amerika Syarikat. Pembelian pada tahun 1950 itu akhirnya mengubah masa depan mereka.

Yoshida pula mula membawa YKK keluar dari zon selesa mereka di Tokyo. Beberapa buah cawangan luar negara dibuka oleh YKK, bermula dengan New Zealand pada tahun 1959. Syarikat ini juga memiliki cawangan di New York pada tahun berikutnya.

YKK dan dominasi 40 peratus zip dunia

Kredit gambar: SBS Zipper

Model perniagaan yang berjaya tidak memerlukan pengeluar produk mencari pelanggan. Sebagai pengguna, kita juga kurang didedahkan dengan kejayaan YKK dan kualiti zip yang dihasilkannya.

Sebanyak lebih 7 bilion zip dihasilkan oleh syarikat ini dalam masa setahun. Pesaing terdekat YKK adalah syarikat China seperti SBS Zipper. Tak kurang juga syarikat China yang cuba meniru nama besar ini seperti YCC dan YQQ, taktik mudah bagi mengelirukan pelanggan.

Namun begitu, bagi pemain industri pakaian, zip YKK telah menjadi kayu ukur yang menjadi sandaran.