Kita semua tahu nafas orang puasa ini memang tak boleh nak elak daripada berbau. Walaupun kita dah gosok gigi dan lidah pada waktu pagi, bila masuk petang mulut kita mesti berbau bila kita berpuasa.

Benda ini bukan sahaja dialami oleh orang yang berpuasa, malah turut dialami oleh orang yang mengamalkan diet ketogenic.

Untuk pengetahuan anda, diet ketogenic atau diet keto adalah sejenis diet yang rendah karbohidrat, tinggi lemak. Biasanya orang yang ikut diet ini akan kurangkan makan karbohidrat seperti nasi, roti dan gula. Kemudian mereka akan lebihkan makan lemak seperti ikan, telur, avocado, yogurt dan minyak.

Bau nafas berbau ini selalu sangat dikaitkan dengan diet ketogenic sampaikan ia turut digelar ‘keto breath’.

Apa yang berlaku pada badan bila kita puasa?

Apabila kita berpuasa, badan kita akan keputusan bekalan karbohidrat. Badan kita sebenarnya amat memerlukan karbohidrat kerana ia akan diuraikan oleh enzim dalam badan kepada glukosa, sumber tenaga untuk sel-sel badan kita.

Bila glukosa menjadi terhad, badan kita akan rendahkan hormon insulin dan memulakan proses ketosis.

Apabila proses ketosis bermula, ia bermakna badan kita mula gunakan simpanan lemak kita untuk beri sumber tenaga yang dinamakan ketones kepada sel-sel badan kita.

Kenapa puasa turunkan berat badan

Ramai orang kita cakap, kalau tak makan nasi, badan kita akan jadi lembik. Tak betul sebenarnya.

Walaupun betul badan kita memerlukan glukosa daripada nasi, ia tak bermakna badan kita akan terus jadi lembik bila tak dapat karbohidrat.

Kalau tak ada karbohidrat, badan kita masih boleh gunakan lemak sebagai sumber tenaga. Caranya adalah satu, iaitu dengan masuk ketosis mode .

Bila badan masuk ketosis mode, badan kita akan hasilkan ketones. Ketones inilah yang membolehkan badan kita mencerna lemak badan sebagai sumber tenaga.

Makin banyak lemak dalam badan kita, makin lama badan kita boleh bertahan tanpa makan karbohidrat. Sebab itulah ramai orang dapat turun berat badan bila berpuasa; dengan syarat mereka tak makan terlalu banyak karbohidrat ketika berbuka puasa dan sahur.

Bila nak tahu badan masuk ketosis mode?

Bila badan kita masuk dalam ketosis mode, badan kita akan bagi beberapa petanda. Antaranya:

1. Nafas berbau busuk

Semasa dalam ketosis mode, mulut kita jadi berbau kerana protein yang kita makan (dari ayam atau ikan) akan terurai dan menghasilkan VLC (volatile sulphur compounds) yang membentuk lapisan putih atas lidah kita.

VLC inilah yang membuatkan nafas kita berbau ketika puasa.

Walaupun bau nafas ini memalukan, tapi ketahuilah bahawa sebenarnya badan kita sedang membakar lemak sebagai sumber tenaga.

2. Berat badan menurun

Bila badan kita masuk ketosis mode dan mula menggunakan membakar lemak untuk menjana tenaga, berat badan kita juga akan menurun.

Pada mulanya berat badan kita akan turun mendadak disebabkan kehilangan air. Kemudian barulah berat kita akan turun sedikit demi sedikit bila lemak mula digunakan sebagai sumber tenaga dalam ketosis mode.

Dengan syarat, masa berbuka dan bersahur, kita tak makan berlebih-lebihan.

3. Kurang lapar

Kadang-kadang kita perasan, puasa ini rasa lapar paling teruknya pada permulaan sahaja. Inilah dia kesan sampingan ketosis mode. Tapi berita baiknya, kesan sampingan ini sekejap sahaja.

Lama-kelamaan, ia akan jadi bertambah mudah – sampaikan pada satu tahap, berbuka sikit pun dah kenyang dah.

Benda ini terjadi kerana puasa mengatur semula konfigurasi hormon kita. Ia akan merendahkan hormon insulin dan kortisol kita, sekaligus membuatkan kita jadi cepat kenyang.

Bagaimana nak atasinya?

Antara cara-cara untuk mengatasi masalah nafas berbau ketika berpuasa adalah:

1. Lebihkan makan sayur-sayuran dan buah-buahan

Seperti yang kami beritahu tadi, nafas berbau orang puasa ini sebenarnya berpunca daripada proses penguraian protein yang menghasilkan VLC.

Jika kita kurangkan makan protein dan lebihkan makan sayur serta buah semasa sahur, bau nafas kita boleh dikurangkan.

2. Gosok lidah

Ketika memberus gigi pada waktu pagi, pastikan kita beri perhatian juga kepada lidah. Gosok lidah kita dengan berus yang lembut.

3. Floss

Benda ini ramai yang abaikan. Jika kita dah berus gigi dan lidah, tapi mulut berbau juga? Itu disebabkan oleh sisa-sisa protein yang kita makan yang tersangkut di celah-celah gigi.

4. Elak minum teh dan kopi

Ketika sahur, elakkan minum teh dan kopi. Sebaliknya lebihkan minum air kosong. Kafein yang terkandung dalam teh dan kopi bukan sahaja cepat membuatkan kita haus (kerana bersifat diuretik), malah merosakkan kualiti nafas Ramadan kita.

Ganjaran Allah SWT kepada orang berpuasa

Kalau mulut kita berbau juga semasa berpuasa, janganlah kita down sangat. Ini kerana Rasulullah SAW memberi jaminan bau mulut kita itu adalah petanda jelas kita sedang melaksanakan ibadah Rukun Islam keempat yang besar ganjarannya.

عَنْ أَبِي هُرَيْرَةَ قَالَ قال النبي صلى الله عليه وسلم: وَالَّذِي نَفْسُ مُحَمَّدٍ بِيَدِهِ لَخُلُوفُ فَمِ الصَّائِمِ أَطْيَبُ عِنْدَ اللَّهِ يَوْمَ الْقِيَامَةِ مِنْ رِيحِ الْمِسْكِ

Dari Abu Hurairah, Bersabda Nabi SAW: Demi diriku berada ditangannya, sesungguhnya bau mulut orang yang berpuasa lebih baik di sisi Allah pada hari kiamat daripada bau kasturi.

(Hadis Riwayat Bukhari No: 1771)

Semoga Allah memberi ganjaran besar kepada ibadah puasa kita. Insha-Allah.

Baca juga artikel kami lain yang berkaitan:

Sumber: