Disebalik hiruk pikuk negara dalam mendepani pandemik, tanpa disedari kita telahpun memasuki bulan kebangsaan iaitu bermula 1 Ogos hingga 16 September. Setiap tahun, hari kenegaraan ini disambut seluruh rakyat dengan penuh kebanggaan dan semangat patriotik. Bagi tahun ini, sambutan hari kebangsaan ialah ulang tahun kemerdekaan ke-64.

Menurut Jawatankuasa Induk Sambutan Hari Kebangsaan dan Hari Malaysia 2021, tema Malaysia Prihatin sekali lagi dikekalkan sebagai tema Hari Kebangsaan 2021 pada akhir bulan ini. Selain itu juga, majlis sambutan rasmi sekali lagi bakal diadakan dalam norma baharu seperti tahun lepas.

Sepanjang bulan ini, kibaran Jalur Gemilang di seluruh negara biasanya menjadi sesuatu wajib sebagai lambang menyemarakkan sambutan bulan kebangsaan atau bulan kemerdekaan negara. Maka, penulisan ini akan membincangkan susunan bendera Jalur Gemilang apabila digandingkan dengan bendera negeri-negeri lain di Malaysia dari sudut undang-undang dan istiadat.

Susunan keutamaan merujuk kepada Perlembagaan Persekutuan

Kredit gambar: https://www.bharian.com.my/rencana/muka10/2018/12/510462/perlembagaan-persekutuan-satukan-bangsa

Di dalam Perkara 70, Perlembagaan Persekutuan ada menyenaraikan tentang Keutamaan Raja dan Yang di-Pertua Negeri.

Fasal 1: Tertakluk kepada keutamaan Yang di-Pertuan Agong dan Isterinya, Raja dan Yang di-Pertua Negeri bagi Negeri-Negeri hendaklah diberi keutamaan daripada segala orang lain dan setiap Raja atau Yang di-Pertua Negeri hendaklah, di dalam Negerinya sendiri, diberi keutamaan daripada Raja dan Yang di-Pertua Negeri yang lain.

Fasal 2: Tertakluk kepada Fasal (1), Raja hendaklah diberi keutamaan daripada Yang di-Pertua Negeri dan, antara mereka sendiri, mengikut tarikh mereka menjadi Raja, dan Yang di-Pertua Negeri hendaklah, antara mereka sendiri, diberi keutamaan mengikut tarikh mereka dilantik sebagai Yang di-Pertua Negeri; dan jika Yang di-Pertua Negeri dilantik pada hari yang sama, maka yang lebih tua hendaklah diberi keutamaan daripada yang lebih muda.

Senarai susunan kekananan mengikut Majlis Raja Raja

Kredit gambar: https://johorpress.com/raja-raja-melayu-bersidang-esok/

Mengikut Majlis Raja-Raja Melayu, berikut merupakan senarai susunan kekananan Seri Paduka Baginda Yang Di-Pertuan Agong, Duli-Duli Yang Maha Mulia Raja-Raja Dan Tuan-Tuan Yang Terutama Yang Di-Pertua-Yang Di-Pertua Negeri.

1. Yang Di-Pertuan Agong Malaysia XVI

Kebawah Duli Yang Maha Mulia Seri Paduka Baginda Yang di-Pertuan Agong XVI Al-Sultan Abdullah Ri’ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah Ibni Almarhum Sultan Haji Ahmad Shah Al-Musta’in Billah.

(Naik Takhta Kerajaan Negeri Pahang Darul Makmur pada 11 Januari 2019)

2. Sultan Terengganu

Kebawah Duli Yang Maha Mulia Al-Wathiqu Billah Sultan Mizan Zainal Abidin Ibni Almarhum Sultan Mahmud Al-Muktafi Billah Shah.

(Naik Takhta Kerajaan Negeri Terengganu Darul Iman pada 15hb. Mei 1998 dan ditabalkan pada 4hb. Mac 1999)

3. Raja Perlis

Duli Yang Maha Mulia Tuanku Syed Sirajuddin Ibni Almarhum Tuanku Syed Putra Jamalullail.

(Naik Takhta Kerajaan Negeri Perlis pada 17hb. April 2000 dan ditabalkan pada 7hb Mei 2001)

4. Sultan Selangor

Duli Yang Maha Mulia Sultan Sharafuddin Idris Shah Alhaj Ibni Almarhum Sultan Salahuddin Abdul Aziz Shah Alhaj.

(Naik Takhta Kerajaan Negeri Selangor pada 22hb. November 2001 dan ditabalkan pada 8 Mac 2003)

5. Yang Di-Pertuan Besar Negeri Sembilan Darul Khusus

Duli Yang Maha Mulia Yang di-Pertuan Besar Negeri Sembilan Darul Khusus, Tuanku Muhriz Ibni Almarhum Tuanku Munawir.

Naik Takhta Kerajaan Negeri Sembilan Darul Khusus pada 29 Disember 2008 dan ditabalkan pada 26hb Oktober 2009)

6. Sultan Johor 

Duli Yang Maha Mulia Sultan Ibrahim Ibni Almarhum Sultan Iskandar.

(Naik Takhta Kerajaan Negeri Johor Darul Takzim pada 23hb. Januari 2010 dan dimahkotakan pada 23hb Mac 2015)

7. Al-Sultan Kelantan

Kebawah Duli Yang Maha Mulia Sultan Muhammad V.

(Naik Takhta Kerajaan Negeri Kelantan pada 13hb. September 2010)

8. Paduka Seri Sultan Perak Darul Ridzuan

Duli Yang Maha Mulia Paduka Seri Sultan Nazrin Muizzuddin Shah Ibni Almarhum Sultan Azlan Muhibbuddin Shah Al-Maghfur-Lah.

(Naik Takhta Kerajaan Negeri Perak Darul Ridzuan pada 29hb Mei 2014 dan ditabalkan pada 6 Mei 2015)

9. Sultan Negeri Kedah Darul Aman

Kebawah Duli Yang Maha Mulia Al Aminul Karim Sultan Sallehuddin Ibni Almarhum Sultan Badlishah.

Naik Takhta Kerajaan Negeri Kedah Darul Aman pada 12hb. September 2017)

10. Pemangku Raja Pahang

Kebawah Duli Yang Maha Mulia Tengku Hassanal Ibrahim Alam Shah Ibni Al-Sultan Abdullah Ri’ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah. (Tengku Mahkota Pahang)

11. Yang di-Pertua Negeri Sabah

Tuan Yang Terutama Tun Datuk Seri Panglima Haji Juhar bin Haji Mahiruddin.

(Dilantik menjadi Yang di-Pertua Negeri pada 1hb. Januari 2011 selama tempoh 4 tahun;
Dilantik semula pada 1hb Januari 2015 selama tempoh 4 tahun; dan
Dilantik semula pada 1hb Januari 2019 selama tempoh 4 tahun)

12. Yang di-Pertua Negeri Sarawak

Tuan Yang Terutama Tun Pehin Sri Haji Abdul Taib Mahmud.

(Dilantik menjadi Yang di-Pertua Negeri pada 1hb. Mac 2014 selama tempoh 4 tahun; dan
Dilantik semula pada 1hb Mac 2018 selama tempoh 4 tahun)

13. Yang di-Pertua Negeri Melaka

Tuan Yang Terutama Tun Seri Setia (Dr.) Hj. Mohd Ali bin Mohd Rustam

(Dilantik menjadi Yang di-Pertua Negeri pada 4hb. Jun 2020 selama tempoh 4 tahun)

14. Yang di-Pertua Negeri Pulau Pinang

Tuan Yang Terutama Tun Dato’ Seri Utama Ahmad Fuzi bin Haji Abdul Razak.

(Dilantik menjadi Yang di-Pertua Negeri pada 1hb. Mei 2021).

Susunan keutamaan bendera

Kredit gambar: https://www.facebook.com/japenpenang/photos/a.1535705470018003/2705533176368554/

Berdasarkan senarai di atas, maka susunan keutamaan bendera yang diperuntukkan di bawah Surat Pekeliling Am Bil. 3 Tahun 1994 bagi Bendera Malaysia dan negeri-negeri adalah seperti berikut:

  1. Malaysia (Jalur Gemilang);
  2. Terengganu;
  3. Perlis;
  4. Selangor;
  5. Negeri Sembilan;
  6. Johor;
  7. Kelantan;
  8. Perak;
  9. Kedah;
  10. Pahang;
  11. Sabah;
  12. Sarawak;
  13. Melaka;
  14. Pulau Pinang dan;
  15. Wilayah Persekutuan.

Garis panduan pemasangan bendera

Kredit gambar: https://www.thestar.com.my/opinion/columnists/reflecting-on-the-law/2020/08/27/building-bridges-dismantling-walls

Terdapat beberapa garis panduan pemasangan bendera yang dikeluarkan oleh Jabatan Perdana Menteri yang perlu dipatuhi iaitu:

  1. Bendera hendaklah dipasang secara melintang sahaja. Bendera tidak boleh dipasang menegak sekiranya berada di dalam keadaan statik atau tidak berkibar. Bendera hanya dibenarkan dipasang secara menegak sekiranya digunakan dalam kuantiti yang banyak sebagai flagline.
  2. Penggunaan bendera dalam bentuk pakaian adalah dilarang kecuali semasa sambutan Bulan Kemerdekaan. Jangka masa penggunaannya adalah terhad.
  3. Tidak boleh digunakan dalam perkara yang merendahkan martabat bendera tersebut seperti alas meja, songkok, tudung, payung, topi, tuala mandi, alas kusyen dan sebagainya.
  4. Penggunaan bendera dalam pelbagai bentuk dan gaya seperti iklan bagi tujuan promosi Bulan Kemerdekaan adalah dibenarkan asalkan kreativiti tersebut tidak ditafsirkan sebagai menghina bendera.
  5. Mengibarkan bendera yang telah uzur seperti pudar warna ataupun koyak adalah satu kesalahan.