Pemain tenis nombor satu dunia, Rafael Nadal mungkin langsung tidak pernah gentar apabila turun ke gelanggang untuk berhadapan musuh-musuh tradisinya seperti Novak Djokovic, Roger Federer mahupun Daniil Medvedev atau Dominic Thiem.
Namun, insiden yang berlaku pada perlawanan pusingan kedua Australian Open menentang Federico Delbonis semalam nyata membuatkan pemain kelahiran Madrid itu berada dalam ketakutan buat seketika.
Hal ini kerana pukulannya sedikit tersasar ketika cuba untuk membalas servis daripada Delbonis bagaikan peluru sesat lalu terkena kepala Anita, seorang ‘ball girl’ berada berhampiran dengan ‘chair umpire’.
Kedua-dua pemain terutamanya Nadal tanpa berlengah terus menuju ke arah ‘ball girl’ itu walaupun kanak-kanak tersebut mengatakan ‘semuanya OK’ sambil menunjukkan isyarat bagus kepada pengadil.
Masih risaukan keadaan Anita, Nadal terus bertanyakan khabar dan kemudiannya memberikan kucupan di pipi kanak-kanak itu sebagai tanda kemaafan yang sekaligus mendapat sorakan gemuruh daripada penonton di Rod Laver Arena.
Mengulas mengenai kejadian tersebut, Nadal yang kini menjengah usia 33 tahun itu mengakui ia merupakan antara detik yang menakutkan sepanjang karier beliau.
”Baginya ia bukan detik yang baik. Sejujurnya, saya amat takut melihat apa yang terjadi kepadanya.”
”Bola sangat laju dan terus terkena kepadanya, jadi dia seorang gadis yang sangat berani.”
”Ini merupakan salah satu daripada detik menakutkan yang saya hadapi ketika di gelanggang tenis kerana bola tepat mengenai kepala.”
Sejurus tamat perlawanan, Nadal turut menghadiahkan ‘bandana’ yang dipakainya pada perlawanan bertemu wakil Argentina itu kepada kanak-kanak tersebut.
Kredit foto: TPN/Getty Images