Bagi anda yang baru berkenalan dengan kopi, kadangkala istilah yang digunakan di kedai kopi agak baru untuk difahami. Tidak seperti teh yang terkenal ketika zaman penjajahan British, kopi agak lewat membentuk dan membudaya di dalam masyarakat.

Ramai yang mengaggap kopi menjadi terkenal dengan pembukaan kopitiam oleh masyarakat Cina. Kopitiam merupakan campuran diantara istilah kopi yang diambil dari Bahasa Melayu dan tiam yang bermaksud kedai dalam dialek Hokkien.

Dua biji kopi yang digemari oleh peminum kopi adalah Columbia dan Brazil Santos, manakala yang ditanam pula adalah jenis Liberica dan Robusta. Tidak seperti kopi di negara lain yang menggunakan kaedah bru, kopi di Malaysia dipanggang dengan marjerin dan gula sebelum ditambah dengan air mendidih melalui penapis.

Pembukaan kedai-kedai kopi antarabangsa dan percambahan kedai kopi dari tepi jalan sehinggalah ke kafe menjadikan ia seakan-akan pantas bercambah. Artikel ini membincangkan perbezaan di antara istilah biji kopi single origin dan house blend yang biasa digunakan.

Maksud kopi single origin

Kredit gambar: Pinterest

Mudahnya, single origin bermaksud kopi yang ditanam dan dituai dari kawasan geografi yang sama. Biji kopi Brazil Santos sebagai contoh, ia ditanam di Brazil dan di negeri Santos.

Brazil Santos merupakan antara biji kopi single origin yang terbaik di dunia. Dianggap sebagai kopi medium light, kopi ini rendah sifat asidiknya.

Kesedapan kopi ini dikatakan bergantung kepada proses pembuatannya yang masih tradisional. Buah ceri yang mengandungi kopi dikeringkan secara semulajadi sebelum diasingkan. Ia merupakan keluaran biji kopi premium di Amerika Selatan.

Kelebihan single origin adalah ia mengekalkan rasa asli kopi tersebut. Selain itu juga, peminum kopi boleh membezakan rasa mengikut negara asal tanaman kopi terbabit.

Maksud kopi house blend

Kredit gambar: Carousell

House blend pula bermaksud campuran beberapa jenis kopi single origin tadi. Di seluruh pelusuk dunia, rata-rata kedai kopi memiliki menu house blend mereka yang tersendiri.

Keenakan kopi dari pelbagai variasi dan negara asal dicampurkan bagi menjadikan rasa baharu yang unik. Perbezaan antara rasa kopi ini sebenarnya mampu melengkapi antara satu sama lain. Selain itu juga, rasa berbeza itu menjadikan keunikan kopi di sesuau kedai sebagai resepi rahsia mereka.

Contoh biji kopi yang kerap menjadi pilihan house blend adalah campuran kopi Ethiopia, Kenya dan Brazil mengikut ratio tersediri. Rasa fruity dan manis kopi dari ketiga-tiga buah negara ini menjadikan kopi tersebut lebih beraroma.

Kopi Brazil Santos juga mempunyai campuran house blend tersendiri dengan Brown Java. Dua kopi popular dengan rasa yang sangat berbeza ini melahirkan rasa pekat dan smoky yang tidak terdapat di dalam kopi single origin yang lain.

Di antara kedua jenis single origin dan coffee blend ini mempunyai kelebihan masing-masing. Maka terpulanglah kepada pengguna untuk memilih antara keduanya.