Pada tahun 2021, terdapat kira-kira 12,500 anggota dan pegawai Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) di seluruh negara. Kesemua anggota ini ditempatkan di 303 buah balai bomba di seluruh negara. Jumlah tersebut sebenarnya masih rendah sekiranya dibandingkan dengan bebanan tugas bomba.
Rekod pada tahun lalu pula menunjukkan, seramai 14,813 anggota berdaftar dengan Pasukan Bomba Sukarela (PBS). Anggota ini pula berdaftar dengan 395 pasukan di seluruh negara. Maka, kita dapat simpulkan bahawa keanggotaan dan pasukan PBS ini jauh melebihi keanggotaan JBPM sendiri.
PBS merupakan pasukan bertindak awal dalam membantu pasukan bomba di seluruh negara. Ini kisah sejarah dan latar belakang PBS yang sering membantu bomba dan masyarakat sebagai barisan hadapan pertama.
Sejarah penubuhan pasukan bomba sukarela
Sekiranya diteliti, pasukan bomba yang ada pada hari ini kesemuanya bermula sebagai bomba sukarela. Sejarah bomba juga berkait rapat dengan pasukan polis.
Di negeri-negeri terawal yang memiliki pasukan bomba, mereka dianggotai oleh pasukan polis sukarela. Sebagai contoh di Pulau Pinang, perkhidmatan kebombaan yang ditadbir oleh pasukan polis sukarela juga turut berkembang seiring dengan pemodenan sistem kepolisan tersebut.
Hanya pada tahun 1898, pasukan bomba sukarela pertama telah ditubuhkan di Pulau Pinang oleh Syarikat Hutternberg & Co. Ltd. dengan keanggotaan seramai 10 orang. Pasukan ini hanya dilengkapi dengan pam kuasa wap yang ditarik oleh empat ekor kuda.
Pada tahun 1902 sehingga 1908, pasukan bomba sukarela ini telah diambil alih oleh kerajaan negeri dan diletakkan di bawah majlis perbandaran. Inilah antara sebab mengapa bomba kekal ditadbir sebagai sebuah jabatan di bawah Kementerian Perumahan Dan Kerajaan Tempatan.
Pasukan bomba sukarela pula kekal membantu di kawasan-kawasan yang tidak mempunyai kemudahan balai bomba.
Diperkasa di bawah Rancangan Malaysia Ketujuh
Perlembagaan Persekutuan secara jelas memperincikan tugas menyediakan perkhidmatan bomba dan pasukan bomba adalah di bawah tanggungjawab Kerajaan Persekutuan. Justeru itu, balai-balai bomba telah dibina oleh kerajaan di kawasan yang strategik bagi memenuhi tanggungjawab ini. Namun, usaha ini masih belum dapat menampung keperluan yang menyeluruh khususnya di bandar-bandar kecil dan juga penempatan di luar bandar.
Maka, salah satu langkah bagi mengisi kelompongan ini adalah dengan menggerakkan penubuhan Pasukan Bomba Sukarela di seluruh negara. Petikan 14.65 Rancangan Malaysia Ketujuh berbunyi “Pasukan Sukarelawan Bomba akan ditubuhkan dalam masyarakat dan mereka akan diberikan latihan dalam pemadaman dan pencegah kebakaran”.
Tujuan penubuhan PBS ini adalah untuk melahirkan pasukan sukarelawan terlatih. Mereka juga mampu membantu anggota JBPM untuk melaksanakan tugas pemadaman kebakaran dan penyelamatan.
Tugas dan tanggungjawab bomba sukarela
Berikut merupakan tugas dan tanggungjawab seorang anggota pasukan bomba sukarela:
- Mengambil tindakan awal jika berlaku kebakaran atau kecemasan sebelum ketibaan Pasukan Bomba dan Penyelamat Malaysia;
- Memberi khidmat nasihat kepada masyarakat setempat terhadap bahaya-bahaya kebakaran dan langkah-langkah pencegahan kebakaran;
- Mengeratkan koordinasi dengan Jabatan Bomba dan Penyelamat serta agensi-agensi lain berkaitan dengan keselamatan kebakaran; dan
- Menjaga dan menyelenggara pili bomba yang terdapat di kawasan masing-masing.