Jerebu Dijangka Tak Berlaku Di Malaysia Dalam Masa Terdekat

Jerebu rentas sempadan dari arah timur dan tengah Kalimantan, Indonesia dijangka tidak melanda negara dalam masa terdekat, menurut kenyataan Jabatan Meteorologi Malaysia (MetMalaysia).

Pemantauan berdasarkan Asean Specialized Meteorological Centre (ASMC) semalam menunjukkan terdapat tiga titik panas dikesan di Kalimantan dan 12 lagi di Sumatera, Indonesia.

“Berdasarkan kepada bilangan dan kedudukan titik panas serta arah tiupan angin itu, menunjukkan bahawatiada pencemaran jerebu rentas sempadan sedang dan dijangka berlaku dalam masa terdekat.

“Pada masa ini, keadaan kualiti udara di seluruh negara dalam keadaan biasa dengan Indeks Pencemaran Udara (IPU) yang dicerap Jabatan Alam Sekitar menunjukkan kategori baik dan sederhana,” menurut kenyataan itu.

Jerebu boleh melanda Malaysia pada Ogos dan September

Bagaimanapun, MetMalaysia memberitahu keadaan itu tidak bermakna jerebu tidak akan melanda negara kerana biasanya kejadian jerebu rentas sempadan masih boleh melanda pada Ogos dan September sekiranya kebakaran terbuka tidak terkawal.

MetMalaysia juga akan memantau keadaan itu secara berterusan dan melaporkan dari semasa ke semasa jika terdapat sebarang kejadian signifikan dan dalam masa sama orang ramai dinasihatkan meminum air secukupnya bagi mencegah dehidrasi selain mengelakkan pembakaran terbuka pada setiap masa.

Maklumat cuaca terkini boleh diperoleh melalui laman sesawang rasmi dan laman media sosial MetMalaysia serta aplikasi myCuaca manakala maklumat IPU boleh didapati dalam laman www.apims.doe.gov.my

Kalimantan Tengah umum darurat akibat pembakaran hutan

Sebelum ini Rencah melaporkan Kalimantan Tengah mengumumkan darurat pada 1 Julai selepas mengenalpasti lebih 700 kebakaran hutan yang dijangka akan mencetuskan musim jerebu tahunan di Asia Tenggara.

Pengumuman darurat itu dibuat sebagai langkah pihak berkuasa Indonesia untuk melindungi khazanah hutan tropika yang masih belum terbakar.

Bagaimanapun Kementerian Alam Sekitar dan Perhutanan Indonesia mengumumkan usaha tersebut menjadi sukar berikutan pengurangan bajet pihak berkuasa berikutan impak wabak COVID-19.

Wilayah Kalimantan Tengah dijangka akan kekal berada di bawah perintah darurat sehingga 28 September. Kerajaan menetapkan tahap darurat di wilayah tersebut berada pada tahap pertama, iaitu tahap amaran yang menuntut peningkatan rondaan dan usaha pemadaman api awal.

Baca juga artikel lain yang berkaitan:

Sumber:

Bacaan Seterusnya