Tular di Twitter beberapa tahun sebelum ini yang kononnya di dunia ini hanya ada seorang sahaja pelanggan Netflix, dan selebihnya mereka yang berkongsi akaun dan kata laluan. Sudah tentu lawak ini tidak tepat dengan Netflix kini menghampiri 210 juta pelanggan berbayar di seluruh dunia.

Namun, apakah pandangan sebenar Netflix terhadap perkongsian akaun dan kata laluan? Ketua Pegawai Eksekutif Netflix, Reed Hastings ada jawapannya.

Menurut Reed, Netflix tidak akan melaksanakan apa-apa perubahan dasar selagi pelanggan tidak dimaklumkan dan faham mengenainya. Maka, dalam masa terdekat, nampaknya Netflix akan terus membenarkan perkongsian akaun dengan pengguna di luar kediaman kita.

Keadaan ini biarpun di dalam peraturan sewaktu pendaftaran akaun Netflix, ada disebutkan mengenai perbuatan berkongsi akaun dengan pengguna di luar kediaman kita sendiri adalah tidak dibenarkan. Namun begitu, Netflix tidak pernah menguatkuasakan peraturan ini dan masih membenarkan perkongsian akaun dan kata laluan biarpun pengguna tidak menggunakan satu internet protocol address yang sama.

Setakat ini dianggarkan sebanyak 33 peratus daripada pengguna Netflix berkongsi akaun mereka dengan pengguna di luar internet protocol address yang sama.

 

Sumber: