Sepanjang lebih 30 tahun saya hidup, ada beberapa nasihat guru yang masih saya ingat sehingga kini. Kerana nasihat mereka ini jugalah, saya masih ingat nama dan muka mereka sehingga kini. Dan kerana nasihat mereka jugalah, saya menjadi saya pada hari ini.

Berikut merupakan lima nasihat guru yang paling memberi impak kepada saya.

1. “Gaji engineer besar”

Dari tadika sehinggalah ke sekolah menengah, memang tak putus-putus usaha-usaha beberapa cikgu untuk melobi kerjaya engineer atau jurutera kepada anak murid seperti saya.

Atas nasihat merekalah, saya memilih aliran sains di Tingkatan Empat. Atas nasihat mereka jugalah, saya memilih program asasi pasca SPM yang memberi laluan jelas kepada jurusan kejuruteraan.

Cuma malangnya, realiti hidup sebagai jurutera di Malaysia tak seindah seperti yang cikgu-cikgu saya cerita. Dengan kadar gaji yang tak setimpal dengan produktiviti, jurutera-jurutera di Malaysia merupakan antara jurutera paling rendah gajinya di dunia.

2. “Awak terasa bodoh tak?”

Mungkin ayat ini tak kedengaran seperti nasihat, tetapi bagi saya ia sebuah nasihat. Cuma ia kedengaran lebih straight-to-the-point.

Nasihat ini diberikan kepada saya oleh cikgu Sains semasa saya mendapat markah terendah dalam ujian pertengahan semester semasa Tingkatan Dua.

Agak terkejut dan marah saya jadinya bila mendengar cikgu Sains saya cakap macam itu. Tetapi tanpa sedar, nasihat beliau itu membuat saya makin berkobar-kobar untuk membuktikan beliau salah. Sejak hari itu, saya sedar saya tak perlukan pujian dan dodoian untuk maju.

3. “Kaum bapak-bapak ni muka je tenang masa balik kerja. Dalam hati dia tu Tuhan saja yang tahu geloranya”

Nasihat ini diberikan oleh seorang ustaz semasa saya menumpang keretanya pergi ke stesen bas untuk balik kampung sempena cuti sekolah.

Sepanjang perjalanan, ustaz tersebut menasihati saya supaya menghormati ibu bapa. Nasihat tersebut saya buat-buat dengar sahaja kerana ia kedengaran tipikal.

Tetapi apabila beliau mengeluarkan mutiara kata di atas, hati saya tiba-tiba tersentuh. Memang betul. Bapa saya tak pernah langsung tunjuk gelisah di mukanya bila saya minta duit ketika bersekolah. Tapi dalam hatinya, hanya Allah sahaja tahu.

4. “Awak ada dua pilihan. Buat pembetulan dan study betul-betul atau isi borang ni…”

…kata pensyarah subjek Fizik saya semasa membuat program asasi di sebuah universiti tempatan. Kebetulan markah saya sangat teruk dalam subjek tersebut.

Jadi untuk memotivasikan saya, pensyarah Fizik saya mengepilkan sekali borang permohonan kerja di McDonald’s bersama kertas jawapan ujian saya. Memang deep tarbiah beliau.

5. “Saya nasihatkan awak semua supaya jangan bagi saya frame gambar lagi tahun ni. Frame gambar saya sekarang ni lagi banyak dari gambar”

Disebabkan bingkai gambar (dan cawan) merupakan hadiah paling popular diberikan kepada guru semasa Hari Guru, cikgu Sains saya merayu supaya kami memberikannya hadiah lain.

Jadi untuk memberi kelainan pada sambutan Hari Guru, saya dan rakan sekelas lain membuat satu buku kupon. Dalam buku kupon tersebut, ada beberapa ‘favour’ yang boleh kami tunaikan untuk beliau seperti tolong hias kelas, tolong bersihkan bilik Jabatan Sains dan sebagainya.

Favour paling menarik dalam buku kupon tersebut adalah ‘semua pelajar kelas kena dapatkan A dalam Sains dalam satu peperiksaan pertengahan semester’.

Favour ini merupakan favour pertama yang beliau mahu kami tunaikan. Jadi untuk peperiksaan pertengahan semester itu, kami sekelas berusaha keras sehinggalah berjaya memastikan semua ahli kelas kami mendapat A dalam subjek Sains.

Menurut cikgu Sains kami, itulah hadiah Hari Guru paling besar pernah diterimanya sepanjang beliau bergelar guru.

Selamat Hari Guru, semua!

Baca juga artikel kami lain yang berkaitan: