Bintang filem terkenal kelahiran Hong Kong, Jackie Chan kelihatan amat terkesan dengan kehadiran coronavirus (2019-nCoV) dan beliau turut menunjukkan keprihatinannya berhubung kewujudan wabak yang amat ditakuti itu.
Jackie yang cukup sinonim dengan filem mempertahankan diri berhasrat menawarkan ganjaran berjumlah sejuta renminbi atau RM587,709 sekiranya terdapat individu atau mana-mana organisasi yang berjaya mencipta penawar bagi mengubati penyakit tersebut.
Menurut sumber Berita Harian Online, tawaran mengenai ganjaran itu diumumkan oleh Jackie Chan menerusi aplikasi popular di China, Weibo.
Pengumuman yang dibuat pelakon berusia 65 tahun itu dikatakan telah mendapat 53,000 ‘likes’. Respon kalangan netizen juga dikatakan begitu positif dan amat menggalakkan.
“Ini bukan soal ganjaran wang. Apa yang saya tak mahu adalah melihat jalan dan tempat awam ditinggalkan kosong serta rakyat berjuang melawan virus bahaya ini.”
“Sains dan teknologi adalah kunci utama dalam mengawal wabak ini. Saya percaya ramai orang bersetuju dengan saya.”
“Saya berjanji akan mengucapkan terima kasih kepada individu dan mana-mana organisasi yang berjaya menghasilkan antidot bagi coronavirus melalui sumbangan sejuta renminbi,” ujar Jackie Chan.
Dalam pada itu, Jackie bersama-sama penyanyi Mandopop (muzik Mandarin), Wang Leehom dan Huang Xiaoming menyanyikan lagu ‘Believe Love Will Triumph’ sebagai tanda solidariti untuk perjuangan negara China menghadapi wabak tersebut.
Kredit foto: China Film Insider