Semalam, YAB Perdana Menteri Malaysia Tan Sri Muhyiddin Yassin memaklumkan bahawa fasa pertama kawalan pergerakan di bawah Pelan Pemulihan Negara (PPN) yang dijadual berakhir hari ini tidak akan ditamatkan. Menurut beliau, berkemungkinan besar fasa pertama ini akan diteruskan hingga pertengahan Julai.

Setiap fasa pelan pemulihan ini akan berpaksikan kepada data yang bersandarkan tiga indikator utama untuk beralih dari satu fasa ke fasa seterusnya. Tiga indikator adalah keadaan penularan Covid-19 dalam komuniti berdasarkan bilangan kes jangkitan harian, keupayaan sistem kesihatan awam berdasarkan kadar penggunaan katil di wad unit rawatan rapi (ICU) dan tahap populasi yang dilindungi berdasarkan peratusan yang lengkap menerima dua dos suntikan vaksin.

Berikut merupakan penjelasan lanjut tentang Pelan Pemulihan Negara berdasarkan empat fasa beserta penjelasan oleh Menteri Kanan Kluster Keselamatan, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob.

Fasa pertama Pelan Pemulihan Negara

Kredit gambar: https://www.bernama.com/bm/news.php?id=1972335

Kita masih lagi berada di dalam fasa pertama PPN di mana kawalan pergerakan adalah lebih ketat dan menyeluruh. Fasa ini diaktifkan akibat jumlah kes berdasarkan jumlah jangkitan harian adalah sangat tinggi serta kadar penggunaan katil di wad unit rawatan rapi (ICU) yang mencapai tahap siling.

Fasa pertama ini sangat penting untuk memberikan kelegaan terhadap sistem kesihatan negara kita supaya mampu mengimbangi tahap penggunaan katil ICU serta kemasukan pesakit Covid-19. Maka, seperti yang diumumkan semalam oleh Perdana Menteri, fasa pertama ini akan dilanjutkan memandangkan jumlah kes Covid-19 masih belum mencapai nilai di bawah 4,000 kes seperti yang ditetapkan sebelum dapat beralih ke fasa seterusnya.

Fasa kedua Pelan Pemulihan Negara

Kredit gambar: https://www.mstar.com.my/lokal/semasa/2020/10/24/pkpb-di-kl-selangor-putrajaya-mungkin-disambung-jika-kes-covid-19-terus-naik

Seperti tiga indikator yang digunakan di dalam fasa pertama, ia juga terpakai kelak bagi pengaktifan fasa kedua. Tiga indikator ini adalah seperti berikut:

  1. Bilangan kes jangkitan harian mampu diturunkan di bawah 4,000 kes sehari;
  2. Sistem kesihatan awam tidak lagi di peringkat kritikal dengan tahap penggunaan katil ICU dalam keadaan sederhana dan
  3. Kadar vaksinasi dua dos suntikan mencapai tahap 10 peratus daripada keseluruhan populasi.

Setakat semalam, 27 Jun 2021 kadar vaksinasi dua dos adalah pada 6.4 peratus. Selepas fasa kedua PPN diaktifkan, aktiviti sosial dan pergerakan rakyat Malaysia masih dikawal ketat manakala aktiviti ekonomi akan dibuka secara berperingkat dengan membenarkan kapasiti pekerja sehingga 80 peratus di premis.

Pergerakan rentas daerah dan negeri masih tidak dibenarkan pada fasa kedua, kecuali bagi pergerakan guru sekolah dan pelajar kelas peperiksaan. Pergerakan rentas negeri bagi pasangan jarak jauh adalah dibenarkan bagi kes kecemasan dan khas sahaja dengan kelulusan Polis Diraja Malaysia.

Operasi beberapa lagi aktiviti ekonomi dalam sektor pembuatan serta sektor perdagangan dan pengedaran akan dibenarkan, dengan sektor pembuatan melibatkan automotif (kenderaan dan komponen), seramik, kilang perabot bagi tujuan eksport, getah, besi dan keluli serta simen.

Sektor perdagangan dan pengedaran pula membabitkan kedai buku dan alat tulis, komputer dan telekomunikasi, barangan elektrik, kedai cuci kereta dan kedai gunting rambut (perkhidmatan gunting rambut asas sahaja). Kebenaran beroperasi kedua-dua sektor adalah dari 8 pagi hingga 8 malam.

Waktu operasi restoran, kedai makan, gerai makan, kenderaan bersaji, penjaja tepi jalan, penjaja beredar, medan selera, pusat penjaja, gerai makan tepi jalan atau kiosk masih beroperasi dari 6 pagi hingga 10 malam. Pasar tani dan pasar pagi dibenarkan beroperasi dari 7 pagi hingga 11 pagi dan terhad kepada enam komoditi iaitu sayur-sayuran, buah-buahan, barangan runcit, ayam proses, makanan laut dan daging. Bagaimanapun, pasar minggu, pasar malam dan pasar tamu masih tidak dibenarkan dibuka.

Semua aktiviti sukan dan rekreasi secara individu dan tidak bersentuhan fizikal akan diberikan kebenaran dalam fasa kedua ini.

Fasa ketiga Pelan Pemulihan Negara

Kredit gambar: https://www.mstar.com.my/lokal/semasa/2021/02/18/sedikit-kelonggaran-dah-boleh-dine-in-lebih-dari-2-orang-satu-meja-mulai-esok-tapi-bersyarat—ismail-sabri

Kita akan beralih ke fasa ketiga apabila mencapai indikator berikut:

  1. Bilangan kes jangkitan harian mampu diturunkan di bawah 2,000 kes sehari;
  2. Sistem kesihatan awam berada di peringkat selesa dan
  3. Kadar vaksinasi dua dos suntikan mencapai tahap 40 peratus daripada keseluruhan populasi.

Semua aktiviti ekonomi adalah dibenarkan beroperasi kecuali aktiviti yang berisiko tinggi dan disenaraikan dalam senarai negatif. Pergerakan rentas daerah dibenarkan sepanjang fasa ketiga manakala pergerakan rentas negeri masih tidak dibenarkan.

Fasa ketiga akan membolehkan kita untuk makan di restoran namun terhad kepada dua orang satu meja dengan mematuhi penjarakan fizikal bagi tempoh tersebu. Bagi pengangkutan awam seperti teksi dan perkhidmatan e-hailing, serta kenderaan persendirian, jumlah kapasiti ditingkatkan kepada tiga orang termasuk pemandu.

Pasar malam, pasar tani, pasar minggu dan pasar tamu juga dibenarkan beroperasi mengikut SOP pada fasa ketiga. Salon kecantikan turut dibenarkan beroperasi ketika di fasa tiga dengan mematuhi SOP ketat yang telah ditetapkan.

Aktiviti sosial masih tidak dibenarkan semasa fasa ketiga. Bagaimanapun, terdapat kelonggaran untuk menerima tetamu atau pelawat di kediaman dibenarkan terhad kepada 10 orang pada satu-satu masa.

Aktiviti pelancongan juga dibenarkan dengan syarat pelancongan dalam negeri sahaja. Pembukaan tarikan pelancong masih tertakluk kepada penilaian risiko semasa dan SOP yang ketat. Industri kreatif juga dibenarkan beroperasi di fasa ini contohnya acara langsung tanpa penonton.

Pembukaan sektor pendidikan termasuk sekolah, institusi pengajian tinggi awam dan swasta, institusi latihan kemahiran dan institusi-institusi pendidikan lain di bawah Kementerian Pendidikan (KPM), Kementerian Perumahan dan Kerajaan Tempatan (KPKT) dan Kementerian Pembangunan Luar Bandar (KPLB) serta agensi lain tertakluk kepada takwim KPM dan Kementerian Pengajian Tinggi (KPT) serta penilaian risiko semasa Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM).

Fasa keempat Pelan Pemulihan Negara

Kredit gambar: https://www.melancong.com.my/tempat-menarik-di-pulau-perhentian/

Kita akan memasuki fasa terakhir ataupun fasa keempat apabila imuniti kelompok dicapai. Peralihan dari fasa ketiga ke fasa keempat akan berlaku apabila mencapai indikator berikut:

  1. Bilangan kes jangkitan harian mampu diturunkan di bawah 500 kes sehari;
  2. Sistem kesihatan awam berada di paras selamat dan
  3. Kadar vaksinasi dua dos suntikan mencapai tahap 60 peratus daripada keseluruhan populasi.

Fasa terakhir ini akan membolehkan kita semua kembali semula kepada norma kehidupan seharian yang mana hampir kesemua sektor dibenarkan sepenuhnya, tertakluk kepada SOP sedia ada yang telah ditetapkan. Pada fasa ini juga, kita akan dibenarkan untuk merentas antara negeri apabila sektor perlancongan domestik turut dibuka.